87588

Syurga Dunia Terletak Di Pulau Kuramathi Maldives - Suria FM - Segalanya Hiburan

Bagaikan melangkah ke dalam sebuah set penggambaran filem Hollywood, itulah yang dirasai penulis usai menjejakkan kaki ke Pulau Kuramathi yang terletak di Maldives ini.

Seringkali mendengar kata-kata orang bahawa Maldives adalah syurga dunia, ternyata kata-kata itu bukan omong kosong semata-mata. Benar, disinilah terletaknya syurga dunia seperti yang diperkata.

 

Usai tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Male, penulis di bawa ke Pulau Kuramathi menaiki feri yang mengambil masa kira-kira 60 minit. Jarak perjalanan dari lapangan terbang ke Pulau Kuramathi ialah 56km. Kehadiran penulis di pulau nan indah ini disambut mesra oleh petugas yang sudah sedia menanti kedatangan kami. Setiap pelancong yang datang kesini akan diberi penerangan terperinci tentang plan di atas pulau ini.

 

Bekeluasan 1.8 kilometer persegi, Pulau Kuramathi adalah pulau yang lengkap dengan segala kemudahan yang anda inginkan untuk percutian di sebuah pulau. Menyelusuri setiap genap di pulau ini ibarat sebuah pengembaraan di dalam pulau tropika yang begitu mengagumkan. Rimbunan pohon-pohon hijau serta warna warni bunga segar di setiap perjalanan membuatkan anda seperti mahu terperangkap di dalam pulau ini selamanya.

 

Dek keluasan pulau ini yang agak besar, kenderaan ‘Buggy’ disediakan untuk memudahkan pergerakan anda dari lokasi ke lokasi, namun jika anda seorang yang kuat berjalan, apa kata anda ambil masa ini untuk menikmati keindahan alam serta panorama rimba pulau ini.

Tidak perlu risau jika mahu bawa anak-anak bersama, kerana di sini percutian yang ditawarkan adalah merangkumi seisi keluarga. Malah ada tempat yang disediakan khas untuk kanak-kanak di mana anda boleh tinggalkan anak-anak anda di sini untuk mereka menjalani aktiviti-aktiviti menarik bersama pegawai bertugas yang terlatih. Jadi anda masih mempunyai masa untuk berdua-duaan dengan yang tercinta.

Penulis diberi peluang untuk menginap di Deluxe Water Villa iaitu villa di atas air yang menghadap lautan biru yang luas terbentang. Vila ini lengkap dengan sebuah katil bersaiz King, bar mini, tab mandi, pancur air luar, TV LCD, Wi-Fi serta kelengkapan mandi dan snorkeling.

Dek air lautnya yang jernih bak kristal, anda boleh terus berenang atau snorkeling dari beranda villa sambil ditemani hidupan akua yang begitu mempersona.

Pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan di pulau ini. Percayalah anda pasti tidak akan bosan berada di sini. Jika anda seorang yang gemar snorkeling atau menyelam, terdapat perkhidmatan khusus untuk membawa anda ke ‘spot’ yang menarik untuk melakukan aktiviti ini. Anda akan dibawa ke sekitar laut berhampiran pulau ini untuk melihat sendiri keindahan ciptaan alam di dasar laut yang akan membuatkan anda seperti tidak mahu naik ke atas bot.

Andai kurang gemar atau tidak berani melakukan aktiviti air, apa kata anda luangkan masa untuk beriadah di atas pulau ini. Keluasan pulau ini cukup untuk membina sebuah padang bola sepak, court tenis dan juga 3 kolam renang termasuklah kolam renang infiniti. Anda harus cuba bersantai di kolam infiniti sambil melihat pemandangan matahari terbenam, sungguh mengasyikkan.

Di atas pulau ini terdapat 12 restoran yang disediakan, jadi soal makanan bukan menjadi masalah yang besar disini. Di sini makanan yang disediakan adalah halal kerana Maldives adalah merupakan negara Islam, namun ada juga makanan yang tidak halal yang disediakan untuk pelancong serata dunia.

Salah satu keistimewaan Pulau Kuramathi berbanding dengan pulau-pulau yang lain di Maldives ini ialah mereka menyediakan pusat untuk aktiviti kanak-kanak yang diberi nama ‘Bageecha Kids Club’. Kelab ini menawarkan pelabagai akviti menarik untuk kanak-kanak berusia dari 3 hingga 12 tahun seperti memburu harta karun, berenang, berjalan kaki alam serta pendidikan kehidupan marin.

kelab ini juga meraikan majlis-majlis khas dan perayaan seperti Easter, Halloween dan Krismas dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan seperti berpakaian sebagai penyihir, menghias pokok Krismas atau pergi memburu telur!

Dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang, kelab ini turut dibuka dari pukul 5 petang hingga 10 malam dengan bayaran tambahan untuk mereka yang mahukan lebih privasi untuk berdua-duaan. Petugas di sini juga sangat berkemahiran serta mampu bertutur dalam pelbagai bahasa.

Terdapat satu tempat menarik di sini yang sering dijadikan tempat paling istimewa untuk bergambar dan melihat matahari terbenam. Tempat itu dinamakan sebagai ‘Sandbank’. Ia terletak di kawasan paling hujung pulau dan berukuran sepanjang 1km. Disini juga adalah antara lokasi untuk pasangan bakal berkahwin merakam gambar pra perkahwinan mereka.

Bercakap mengenai gambar pra perkahwinan, di pulau ini turut disediakan kedai fotografi serta khidmat untuk menyewa pakaian pengantin. Kedai ini telelak bersebelahan dengan kedai menjual cenderamata. Jadi jika anda terlupa untuk membawa kad memori atau peralatan fotografi, jangan risau kerana semuanya disediakan disini. Namun anda harus menyediakan mata wang Dollar Amerika kerana kebanyakan pulau di Maldives hanya menerima matawang ini.

Antara kemudahan lain yang disediakan di sini ialah pusat perubatan dan dikhabarkan bahawa ia adalah pusat perubatan yang terbaik di daerah ini mempunyai hiperbarik oksigen terbesar di Maldives. Ia dilengkapi untuk mengendalikan kes kemalangan sewaktu menyelam atau kecemasan lain. Selain ruang hiperbarik, Pusat Perubatan juga dilengkapi alat diagnostik moden untuk menjalankan ECG, X-ray, analisis darah dan audiometri. Ia termasuk wad kecil dengan dua katil. Dua doktor Jerman, Pegawai Perubatan Menyelam dan seorang Pengamal Am, bekerja sepanjang tahun.

Bagi yang beragama Islam, jangan risau kerana di atas pulau ini turut dibina surau yang sangat besar yang mampu memuatkan jemaah untuk menunaikan solat Jumaat kerana kebanyakan pekerja di pulau ini merupakan penduduk Maldives yang beragama Islam.

Dengan perkhidmatan serta tawaran hebat dari syarikat penerbangan tambang murah, tiada alasan lagi untuk anda tidak menjejakkan kaki ke syurga dunia ini. Pulau Kuramathi sangat sesuai untuk anda yang inginkan percutian lengkap di atas sebuah pulau juga sesuai untuk seisi keluarga. Jika ada rezeki, penulis pasti akan kesini lagi.

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai segala maklumat tentang Pulau Kuramathi ini, anda boleh lawatan laman sesawang mereka di www.kuramathi.com

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!