86528

Tak Perlu Ke Rio De Janeiro, Semarang Night Carnival Beri Anda Pengalaman Sama - Suria FM - Segalanya Hiburan

Pernah tak anda berangan untuk menghadiri acara fiesta perarakkan penuh warna warni seperti di Rio De Janiero Brazil? Melihat kostum kreatif yang berwarna warni, tarian yang mengasyikkan serta perbarisan yang mengagumkan.

Jika anda teringin untuk merasai pengalaman sebegitu, tidak perlu terbang jauh sehingga ke bumi Amerika Selatan, kini anda boleh merasai pengalaman yang hampir sama di Kota Semarang yang terletak di Jawa Tengah Indonesia.

Setiap tahun Kota Semarang akan menganjurkan Semarang Night Carnival sempena dengan ulang tahun Kota Semarang. Tahun ini, sekali lagi kota yang penuh dengan warisan ini menganjurkan Semarang Night Carnival sempena meraikan hari ulang tahun Kota Semarang yang ke 471.

Tahun ini Semarang Night Carnival mengangkat tema ‘Kemilau Semarang Tahun 2018’. Terdapat 4 tema kostum dalam perarakan karnival tahun ini iaitu Asem Arang, Kupu-kupu, Akua Hidupan Laut dan juga Art Deco. Kesemua tema-tema ini saling berkait dengan Kota Semarang sendiri.

Seawal jam 6 petang, ribuan warga Semarang telah berkumpul di Jalan Pemuda, Kota Semarang untuk menyaksikan acara yang gilang gemilang ini. Saat matahari mula melabuhkan tirainya, pancaran kerdipan lampu-lampu berwarna warni mula memancar di sepanjang jalan.

Karnival hebat ini bukan sahaja dihadiri oleh penduduk tempatan, tetapi turut dihadiri oleh Wali Kota serta wakil-wakil kedutaan dari beberapa negara dari seluruh dunia.

Acara dimulakan dengan persembahan formasi serta pancaragam dari pasukan beruniform. Setiap seorang begitu segak dalam pakaian seragam masing-masing serta pergerakan lincah yang sekata membuatkan para penonton terpukau.

Namun yang paling dinantikan ialah perarakan kostum-kostum yang penuh berwarna warni. Setiap kostum dihias penuh kreatif. Rekaannya sungguh mengagumkan persis menonton perarakan di Amerika Selatan. Namun kostum di Kota Semarang tidak kalah hebatnya. Lensa kamera berpusu-pusu merakam gambar kostum-kostum yang melewati sepanjang jalan.

Tahun ini Semarang Night Carnival turut disertai oleh negara Korea Selatan dan juga dari Taiwan. Tidak terkecuali dari negara jiran seperti Papua, Manado, Pemarang, Jepara, Grobogan dan Salatiga. Setiap delegasi membuat persembahan tarian dari etnik masing-masing.

Pada malam itu, pengunjung yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan dari artis popular Indonesia iaitu Once dan kumpulan legenda God Bless yang mendendangkan lagu-lagu hits mereka.

Bagi anda yang teringin untuk melancong ke Kota Semarang, jangan risau kerana ada syarikat penerbangan tambang murah seperti Air Asia yang menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Semarang.

Terima kasih kepada Badan Promosi Dinas Pariwisata Kota Semarang kerana telah membawa blogger dari Malaysia dan Indonesia untuk merasai pengalaman menakjubkan ini.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!