89525

Terbang Ke Danau Toba dari Subang Dengan Malindo Air - Suria FM - Segalanya Hiburan

Zaman sekarang, perjalanan untuk melancong di dalam dan luar negara sudah menjadi semakin mudah. Era memandu kereta untuk jangka waktu yang lama demi ke satu destinasi sudah tiada lagi buat mereka yang ingin menjelajah bumi asing. Ini kerana terdapat banyak syarikat penerbangan yang menawarkan pelbagai kelebihan. Semestinya, kesemua syarikat penerbangan berlumba-lumba untuk memberikan perkhidmatan terbaik. Apatah lagi di rantau Asia.

Salah satu daripada syarikat penerbangan yang semakin mendapat perhatian di Asia Tenggara adalah syarikat penerbangan Malindo Air. Biarpun syarikat ini agak muda dan mula beroperasi sejak tahun 2013 namun perkhidmatan yang ditawarkan ternyata mendapat perhatian ramai penumpang di rantau ini.

Dengan namanya yang merupakan gabungan nama dua negara Malaysia dan Indonesia, tidak hairanlah jika Malindo Air terbang ke banyak destinasi di Indonesia dan Malaysia, selain bahagian-bahagian lain di sekitar Asia Pasifik. Dengan keluasan dan jarak Asia Pasifik yang luas, pesawat-pesawat mereka bertanggungjawab membawa ribuan penumpang ke aneka destinasi setiap tahun.

Terbaru buat rakyat Malaysia, Malindo Air baru sahaja memperkenalkan laluan penerbangan terkini mereka daripada Lapangan Terbang Subang Skypark ke Lapangan Terbang Silangit di Danau Toba. Malah mereka turut menawarkan penerbangan langsung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi di Indonesia dengan harga yang sangat berpatutan dan kompetitif berbanding syarikat penerbangan perkhidmatan penuh atau kelas premium yang lain.

Pengalaman menaiki penerbangan Malindo Air juga sangat menyeronokkan kerana perkhidmatan pekerja syarikatnya yang berdedikasi memang terserlah.

Sambil menikmati hidangan yang lazat, para penumpang juga boleh membaca majalah pesawat, iaitu MalindoMag yang banyak berkongsi info menarik tentang destinasi-destinasi pelancongan serta perkembangan gaya hidup yang lain.

Penerbangan ke Lapangan Terbang Silangit dari Subang ini juga sangat menarik kerana ia merupakan lapangan terbang yang terus membawa penumpang ke Danau Toba, tasik terkenal yang menjadi kawasan tumpuan pelancong serata dunia. Jika dahulu, kebanyakan pelawat perlu terbang ke bandar Medan dan kemudian menaiki kenderaan darat selama beberapa jam untuk ke Danau Toba, kini pelancong Malaysia tidak perlu melalui semua itu lagi.

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Silangit, para pelawat boleh berwisata di Pulau Samosir. Sebuah pulau yang mempunyai keluasan sebesar Singapura dan terletak di tengah Danau Toba. Pulau ini mempunyai banyak tarikan pelancongan yang menarik. Terdapat banyak tempat yang menawarkan pemandangan indah Danau Toba di Pulau Samosir. Antaranya adalah Samosir Cottage yang mempunyai kedudukan strategik.

Buat yang tidak tahu, kawasan sekitar Danau Toba merupakan tempat asal komuniti Batak di Indonesia. Dan di situ, kita dapat mempelajari tentang sejarah orang Batak dan mendalami budaya mereka. Singgahlah ke Muzium Huta Bolon Simanindo untuk melihat beberapa artifak purba dari masa lampau yang pernah digunakan oleh generasi orang Batak terdahulu. Selain itu saksikan juga tarian khas tradisional orang Batak yang diiringi dengan alunan muzik tradisional mereka.

Suasananya juga tidak kurang hebat dengan deretan rumah-rumah tradisional Batak yang berlatarbelakangkan alam semula jadi Danau Toba yang indah.

Teruskan perjalanan juga ke Huta Siallagan untuk melawat makam Raja Sidabutar yang mempunyai banyak kisah-kisah menarik tentang asal-usul kawasan tersebut. Namun untuk melawat makam raja tersebut, pengunjung akan dipinjamkan kain khas bernama Ulos yang harus diapakai secara selempang sepanjang berada di kawasan makam.

Huta (yang bermaksud kampung dalam bahasa tempatan ) ini juga menunjukkan tempat orang penting serta Raja bersidang sebelum menjatuhkan hukuman ke atas orang yang bersalah. Pemandu pelancong anda juga boleh menjelaskan cara hukuman pancung dilakukan ke atas penjenayah yang bersalah pada zaman tersebut.

Di beberapa muzium dan pusat-pusat kebudayaan ini terdapat juga patung Sigale Gale. Ia merupakan sebuah patung kayu yang digunakan dalam pertunjukan tarian saat upacara pengebumian mayat kaum Batak. Sepanjang patung ini ‘menari’, ia dikendalikan oleh seorang pemain dari belakang seperti patung ‘marionette’ yang menggunakan tali tersembunyi bagi menghubungkan bahagian-bahagian patung melalui podium kayu berukir tempatnya berdiri. 

Menurut kepercayaan orang dahulu kala di situ, patung-patung ini dulu dapat menari dengan sendiri menggunakan jampi serapah yang menyeru roh si mati sebagai tanda bahawa kehadirannya masih ada dan tidak dilupakan.

Selepas mempelajari sejarah dan budaya, pengembaraan boleh diikuti dengan sesi membeli-belah di kawasan berdekatan yang bernama Tomok. Di situ terdapat banyak barangan cenderahati yang boleh dibeli. Ini termasuk ajnas bahan kain serta kemeja-T, rantai kunci dan seumpamanya pada harga yang berpatutan. Di sini juga anda boleh tunjukkan kehebatan anda dalam tawar-menawar.

Dari kawasan beli-belah Tomok para pelancong bolehlah ke pelabuhannya untuk kembali ke tanah besar dengan menaiki pelbagai perkhidmatan feri yang ada. Pemandangan sepanjang perjalanan memang indah dan harus dinikmati.

Untuk melihat pemandangan kawasan Danau Toba yang lebih indah dari bahagian atas, pastikan meluangkan waktu sebentar di Menara Pandang Tele Samosir yang merupakan sebuah ‘look out point’ buat mereka yang ingin mengambil gambar.

Untuk mengetahui sedikit sejarah ketenteraan, singgahlah ke muzium TB Silalahi yang juga ada banyak maklumat sejarah selain pemandangan yang menakjubkan.

Secara umum, ini baru sedikit sahaja tarikan yang ada di sekitar Danau Toba dan masih ada banyak lagi yang harus diterokai. Jadi ambillah kesempatan ke atas penerbangan langsung ke lapangan terbang Silangit dari Subang ini.

Malindo Air juga menawarkan penerbangan langsung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi di Asia Pasifik lain seperti China, India, Australia Nepal dan banyak lagi.

Jadi sekiranya anda tercari-cari penerbangan berkualiti yang selesa dan penuh kemudahan untuk percutian seterusnya, cubalah Malindo Air, kami yakin anda akan menyukainya!

 

Lawatan ini telah dijayakan oleh Malindo Air bersama dengan Pejabat Pelancongan Indonesia

Gambar sumbangan Aryl Je

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!