99878

Teringin Nak Cuba Panggung Drive-In? 6 Sebab Ini Alasan Terbaik Tengok Wayang Dalam Kereta - Suria FM - Segalanya Hiburan

KERAJAAN mungkin sudah membenarkan panggung wayang dibuka namun ramai di antara kita berasa bimbang untuk ke tempat awam tambahan pula peningkatan semula ke Covid-19 di Malaysia sejak kebelakangan ini.

Namun itu bukan bererti kita tidak boleh berhibur bagi menenangkan fikiran kerana kini terdapat pilihan menonton wayang dengan lebih selamat tanpa perlu bersesak atau bimbang tentang penjarakkan fizikal.

Jika ingin merasai suasana menonton wayang di dalam kereta, Panggung Wayang Pandu Masuk Nescafe M-Junction mungkin adalah jawapannya.

Bertempat di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), ia sudah pun mula beroperasi sejak 1 Ogos lalu dan pelanggan boleh memilih untuk menonton filem kegemaran menerusi dua slot yang disediakan iaitu pukul 6 petang dan 9 malam.

Caj dikenakan adalah RM99 bagi setiap kereta (maksimum dua orang) untuk pakej standard manakala RM159 setiap kereta (maksimum dua orang) untuk pakej VIP. Dua hidangan juga disediakan untuk setiap kenderaan.

Tapi apa yang membuatkan pengalaman menonton di Panggung Wayang Pandu Masuk Nescafe M-Junction ini menarik?

1. Tempat terhad

Bagi memastikan semua pelanggan mendapat pengalaman menonton maksimum, pihak pengurusan hanya memuatkan maksimum 50 kereta pada setiap sesi.

Jika anda memandu kenderaan besar seperti SUV, anda perlu meletakkan kereta di bahagian belakang supaya tidak menghalang pemandangan penonton yang datang dengan kereta sedan.

2. Jangan bimbang kipas disediakan

Sedari Malaysia adalah sebuah negara tropika dan sentiasa panas, pihak pengurusan juga akan menyediakan dua kipas tangan untuk digunakan ketika menonton.

Bukan tak boleh menghidupkan enjin, tetapi bunyi kenderaan mungkin akan mengganggu orang sekeliling selain dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida. Cara paling baik untuk menyelamatkan bumi!

Fakta dan angka berkaitan dengan pemanasan global juga ditayangkan sebelum filem bermula untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu itu.

3. Pembesar suara pun ada!

Setiap kenderaan akan dibekalkan dengan sebuah pembesar suara yang boleh diletakkan di atas dashboard. Kesan bunyinya mungkin tidak sehebat menonton di panggung wayang tetapi ia masih memberi kepuasan.

4. Paparan skrin LED

Bagi mendapat pengalaman menonton sebenar, skrin LED, 4 meter X 9 meter digunakan namun lebih seronok sekiranya ia lebih besar.

5. Lokasi

Penganjur memilih lokasi strategik kerana anda juga boleh menikmati pemandangan indah Kuala Lumpur pada waktu malam. Dari Matic, anda boleh nampak KLCC dan Menara KL dengan jelas.

6. SOP terbaik!

Bagi mengurangkan risiko penularan dan jangkitan Covid-19, pihak pengurusan hanya membenarkan dua penonton setiap kereta dan sebelum memasuki ruang parkir, suhu badan akan dibuat terlebih dahulu.

Untuk mengurangkan risiko kontak dan kesesakan laluan, pembayaran tanpa tunai melalui sistem dalam talian turut disediakan, dimana makanan dan minuman akan dihantar terus ke kereta penonton.

Sementara itu, Pengarah MD Events Asia, Jack Gill berkata, pihaknya turut menetapkan pelbagai langkah kebersihan dan peraturan keselamatan yang ketat.

“Sebagai penganjur acara yang bertanggungjawab, fokus kami adalah untuk memastikan semua pelanggan selamat dan mereka dapat merasai pengalaman menyeronokkan,” ujarnya.

Acara ini hanya akan berlangsung selama tiga bulan dan untuk tempahan peribadi serta korporat boleh melayari www.mjunction.my atau hubungi 03-2282 6413.

Kredit artikel mStar

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...