87550

Terpegun Dengan Tokyo - Suria FM - Segalanya Hiburan

Negaranya digelar ‘negara matahari terbit’ dan ibu kotanya,Tokyo merupakan salah satu bandaraya paling dinamik di dunia. Bersesuaian dengan statusnya sebagai pusat komersial negara yang menjadi salah satu kuasa ekonomi teratas dunia, arus kemodenan yang begitu deras mengalir di negara ini terpancar jelas di balik persekitarannya. Bangunan pencakar langit melitupi permukaan Tokyo dan papan-papan iklan digital berserta sinaran neon menerangi setiap pelusuknya.

Tokyo sangat indah untuk dikunjungi di pertengahan musim bunga, saat musim panas mula menunjukkan kelibatnya. Biarpun kehangatan dapat dirasai di waktu siang namun ia hanyalah ‘sapaan’ manja musim panas. Cuaca yang tidak terlalu panas dan sama sekali tidak sejuk memang cuaca paling disenangi ramai. Tak perlu nak bersarung tangan dan berbaju berlapis-lapis. Dua lapis sahaja sudah memadai untuk mengekang angin yang kadang kala bertiup kencang.

Untuk penginapan pula ada banyak pilihan. Antaranya hotel yang ada unsur-unsur tradisional Jepun. Salah satunya adalah Mimaru Akasaka yang berkonsepkan pangsapuri. Hotelnya berdekatan dengan stesen keretapi bawah tanah dan mudah untuk ditujui. Biliknya juga sangat selesa dan masih ada unsur-unsur asli Jepun yang dapat dinikmati oleh tamu yang berkunjung. Oleh kerana konsep biliknya seperti pangsapuri, ia mempunyai dapur lengkap yang boleh digunakan untuk memasak selain ruang tamu dan makan untuk keselesaan bersama. Ini juga menjadikannya sebuah hotel yang sangat sesuai untuk tamu berkeluarga atau kumpulan yang besar. Ia juga hanya beberapa minit perjalanan dari stesen keretapi bawah tanah Akasaka dan memudahkan pergerakan untuk menjelajah Tokyo.

Seperti beberapa restoran di Malaysia, Tokyo juga ada tempat-tempat makanan tempatan yang masih beroperasi lewat malam. Jika berasa lapar, anda boleh tetap keluar mencari tempat makan walaupun sudah lewat malam. Ada banyak restoran-restoran kecil serta kedai-kedai 24 jam yang buka.

Tidak perlu ragu-ragu dalam memesan kerana apa yang paling memudahkan tentang Jepun adalah kebanyakan makanannya berasaskan ikan serta makanan laut. Dan ini memudahkan bagi para pelancong Muslim yang sentiasa mencari makanan halal. Dan rupa-rupanya, bayarannya tidaklah semahal yang disangkakan. Al-maklum, sebelum ke Jepun ramai yang sering menggembar-gemburkan cerita bahawa semuanya mahal di sana. Tetapi ia sebenarnya masih berpatutan dan tidaklah semahal yang saya fikirkan.

Bagi yang ingin mencuba hidangan Ramen Halal bolehlah singgah di sebuah tempat makan di Shinjuku Gyoen Ramen Ouka. Selain hidangan Jepun mereka yang halal dan sangat lazat, mereka juga menjual mochi perasa pisang dan teh hijau halal dalam bungkusan khas untuk dijadikan hadiah cenderamata Jepun. Makanan juga mudah dibeli dengan penggunaan mesin di pintu masuk kedai!

Antara kawasan yang menjadi tumpuan di Tokyo adalah kawasan Roppongi. Dari situ anda boleh ke Tokyo Station yang merupakan stesen keretapi utama di situ. Bangunannya cantik dan terkenal. Ia terletak di kawasan Marunouchi dan di sekelilingnya pula tersergam gedung-gedung perniagaan terkemuka.

Sekiranya anda turun di kawasan Marunouchi, anda boleh berjalan ke taman diraja (imperial gardens) sambil menikmati keindahan alam semula jadi. Jalanan utama Ginza yang dipenuhi kedai-kedai jenama mewah di situ pula mengingatkan kepada persiaran Champs-Elysee di Paris. Ia dihiasi pokok-pokok yang dirias lampu dan kelihatan begitu mengagumkan di waktu malam.

Selain kawasan Ginza, jangan melepaskan peluang ke kawasan tumpuan ramai iaitu Shinjuku dan Shibuya. Kawasan Shinjuku memang meriah serta padat. Ia dipenuhi hotel-hotel mewah dan di situ juga terletaknya kawasan ‘lampu merah’ Tokyo.

Shibuya pula merupakan kawasan yang terkenal sebagai salah satu lintasan jalan raya paling sibuk dunia selain gadis-gadis berpakaian aneh yang dikenali sebagai harajuku. Ia merupakan satu konsep fesyen yang lahir di Jepun dan mempunyai pengikutnya sendiri. Di dua kawasan inilah ramai pelancong membeli-belah, memilih daripada ajnas gaya pakaian terkini Jepun. Seperti yang kita ketahui, Jepun juga sebuah pusat fesyen dan para pereka mereka seperti Kenzo dan seumpamanya merupakan perintis kepada gaya fesyen Asia dan dunia.

Tidak harus dilupakan juga adalah kawasan permainan video Akihabara yang terang bersinar di waktu malam dengan pelbagai promosi jenama permainan video tersohor. Ada juga restoran robot unik yang memaparkan persembahan menarik.

Sesudah puas berbelanja dan bersiar-siar, anda boleh juga berseronok di Tokyo Disneysea. Berbeza dengan Disneyland, Disney Sea hanya terdapat di Tokyo dan merupakan taman tema Disney yang dibina di atas air serta mempunyai aneka permainan bertema Disney yang berlainan dengan Disneyland. Dengan menaiki keretapi perjalanan ke sana sangat mudah. Namun perlu diingatkan bahawa, anda harus beratur untuk waktu yang lama sebelum menaiki setiap tarikan permainan di situ. yang lain. Jadi nasihat kami buat anda yang pernah ke Disneyland lain, lebih baik anda kunjungi Disney Sea Park sahaja kerana ia berbeza dari taman tema Disney lain di dunia.

Secara amnya, suasana bersiar-siar sambil membeli-belah di Tokyo memang mengasyikkan. Warga Tokyo trendy dan bandarayanya sangat moden dan canggih. Sesiapapun pasti menikmati setiap detik makan sushi asli di restoran, sambil menikmati pemandangan gah Tokyo yang dihiasi lampu dan pelbagai papan iklan digital mereka. Mudah untuk ke mana-mana serta jaguh dalam teknologi, Tokyo memang harus dilawati andai berpeluang. Apatah lagi, ia tidaklah semahal yang diwar-warkan dan masih mampu dikunjungi dengan jumlah kos yang berpatutan. Kami yakin buat yang tidak pernah ke Tokyo anda pasti terpegun dengan kehebatannya dan akan kembali lagi bila berpeluang. Itu janji ramai orang yang pernah ke sana!

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!