85420

Terpesona Dengan Padang - Suria FM - Segalanya Hiburan

20180216_101843

Dalam banyak-banyak kota di Pulau Sumatera di Indonesia, ada satu kota yang tidak kurang popularnya di kalangan rakyat Malaysia. Ia dikenali kerana berkongsi budaya yang agak mirip dengan salah satu negeri di Malaysia iaitu Negeri Sembilan. Kota tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah Padang.

Ia merupakan tanah asal bangsa dan budaya Minangkabau yang kaya dengan aneka sejarah serta pencapaian. Malah, terdapat penerbangan langsung ke Padang dari Kuala Lumpur lewat salah satu syarikat penerbangan tambang rendah paling popular di Asia. Untuk memudahkan penjelajahan sekitar Padang juga tidak sukar kerana terdapat banyak syarikat pelancongan tempatan di sana yang sering membawa rombongan pelancong Malaysia bersiar-siar. Salah satu daripadanya adalah syarikat P.T Bravo Tour yang sudah arif mengurus rombongan kembara berkumpulan serta peribadi.

20180216_114931

Penerbangan ke Padang tidak memakan waktu yang lama kerana kedudukannya yang dekat di kawasan Sumatera Barat Indonesia. Setibanya di Lapangan Terbang Minangkabau di Padang, perkara pertama yang pasti mencuri perhatian para pengunjung adalah bumbung bergaya Minangkabau yang menghiasi lapangan terbang antarabangsa tersebut. Senibina Minangkabau ini sememangnya sesuatu yang sangat unik dan sinonim dengan kota Padang dan kawasan sekitarnya, khasnya daerah Bukit Tinggi.

20180216_115714

20180216_115903

Hampir kesemua bumbung bangunan utama di kota ini menggunakan senibina bumbung yang sama dan satu ketika dulu, jumlah bucu penjuru bumbung melambangkan jumlah penghuni setiap rumah. Malah salah satu bumbung Minangkabau paling cantik di Padang adalah bumbung milik Masjid Raya Sumatera Barat di ibukota Padang. Berbeza dengan kebanyakan masjid di dunia yang menggunakan bumbung berbentuk kubah,bumbung masjid ini tampil gah dengan seni hiasan tersendiri. Ia memaparkan seni ukiran berupa ayat-ayat suci Al-Quran dan sememangnya menjadi tempat pilihan untuk mengabadikan gambar kenangan.

Selain daripada pusat kota Padang, kawasan kota tuanya juga menjadi satu tarikan penduduk tempatan. Antara kawasan lain yang menarik adalah Jambatan Siti Nurbaya yang diambil namanya daripada kisah seorang gadis bernama Siti Nurbaya yang terpaksa berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih berusia. Jambatan ini sekarang menjdi tempat popular pelancong mengambil gambar dan membeli makanan yang dijual di tepi jalan. Ia juga mempunyai latarbelakang yang cantik dengan pelabuhan bot-bot serta perahu dan kapal yang dapat membawa pengunjung ke tempat-tempat popular lain seperti Mentawai yang terkenal sebagai destinasi luncur air atau ‘surfing’.

 

20180216_100001

Di samping itu, Padang juga merupakan sebuah kota pantai kerana ia benar-benar terletak di tepi laut. Kawasan pantai Padang sentiasa dipenuhi dengan pengunjung yang ingin bersantai ataupun berniaga. Ia juga meriah di waktu malam dengan kehadiran para pemuda yang ingin menghabiskan waktu bersama teman-teman.

20180216_102022

Selain penduduk yang berketurunan Minangkabau dan bangsa tempatan lain, Padang juga mempunyai komuniti Cinanya sendiri. Mereka menghuni salah satu kawasan di tengah kota yang terlihat dengan terdirinya beberapa bangunan yang mempunyai senibina asli Cina seperti kuil dan tempat-tempat sembahyang. Kawasan ini lebih meriah sewaktu perayaan Tahun Baru Cina dan kadangkala banyak juga penduduk yang bermurah hati untuk menghadiahkan derma berupa wang tunai dalam sampul merah atau Ang Pow kepada penduduk yang kurang berkemampuan.

20180216_094437

Dari kawasan utama kota Padang, pengunjung juga disarankan melawat kawasan Bukittinggi yang banyak menyimpan sejarah dan budaya Minangkabau. Perjalanan mendaki bukit ke kawasan Bukittinggi dengan menaiki kereta mengambil masa sekitar dua jam. Dalam perjalanan ke Bukittinggi, para pelawat juga pasti disarankan untuk singgah ke Istana Baso Pagaruyung. Istana ini merupakan istana asal Raja Minangkabau yang kini dijadikan sebuah tempat kunjungan pelancong yang ingin menyingkap sejarah silam masyarakat serta keluarga diraja Minangkabau. Di sini juga terlihat warna-warna bendera Minangkabau iaitu merah, hitam dan kuning yang turut digunakan oleh Negeri Sembilan di Malaysia. Di sini juga, para petugasnya akan menerangkan tentang sejarah Minangkabau serta cara hidup masyarakat dahulu.

20180217_151206

Malah para pelancong yang berkunjung ke sini juga berpeluang mencuba pakaian tradisional Minangkabau dan mengambil gambar di kawasan perkarangan dan dalam istana.

20180217_160839

Satu lagi singgahan wajib adalah Nagari Pariangan, ia merupakan sebuah kampung di atas bukit dan tersenarai sebagai satu daripada 15 desa terindah dunia menurut laman sesawang antarabangsa Luxatic.  Dalam perjalanan ke situ juga pengunjung boleh singgah ke kawasan air terjun Lembah Anai untuk berehat seketika.

20180217_125213

Dan lebih menarik lagi, perjalanan ke Bukit Tinggi diselang-selikan dengan keindahan pemandangan sawah bendang yang hijau dan menenangkan mata. Terdapat juga beberapa restoran dan tempat makan di kawasan-kawasan ini yang menjadikannya begitu popular di kalangan pelancong. Hampir kesemua bas pelancong pasti membuat hentian di situ untuk sajian makan tengah hari. Pemandangan di kawasan tersebut sangat menenangkan dan juga indah untuk diabadikan di dalam gambar!

20180217_143930

20180217_143754

Selesai menikmati keindahan alam semulajadi di kawasan sawah bendang, nikmati pula keunikan serta tarikan pelancong di kota Bukittinggi. Di situ tersergamnya salah satu bangunan ikonik penduduk tempatan, iaitu Jam Gadang yang merupakan sebuah menara jam dengan bumbung Minangkabau. Ia terletak di tengah kota berdekatan kawasan pasar.

20180218_091643

20180218_091527

Tidak jauh dari situ juga adalah Ngarai Sianok yang merupakan sebuah kawasan lembah dengan panorama yang cantik. Banyak kera berkeliaran di kawasan itu kerana kedekatan jarak dengan belantara. Dan di bawah kawasan lembah itu adalah Lobang Jepang. Lobang Jepang merupakan sebuah terowongan (atau bunker) perlindungan yang dibina oleh tentera Jepun semasa zaman penjajahan Jepun sekitar tahun 1942 untuk kepentingan pertahanan. Jadi di dalamnya terdapat banyak laluan-laluan kecil berupa terowong.

20180218_082435

20180218_084033

20180218_084816

Dari situ, para pelancong boleh meneruskan perjalanan ke Rumah Kelahiran Bung Hatta. Ia merupakan tempat lahir Naib Presiden pertama Indonesia iaitu Drs. H Mohammad Hatta, yang namanya sering digandingkan bersama nama Presiden pertama Indonesia, Soekarno. Rumah itu dipelihara dengan baik dan tamu bebas melawatnya secara percuma untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal-usul beliau dan keluarganya.

20180218_093756

Setelah berkunjung ke tempat-tempat ini yang terletak di tengah kota Bukittinggi, para pelancong juga disarankan untuk mengunjungi kawasan menarik lain di luar kota. Antaranya adalah daerah Puncak Lawang. Seperti namanya, ia terletak di kawasan tinggi di atas bukit dan kini menjadi destinasi popular untuk menikmati keindahan alam dan bersantai.

20180218_132211

20180218_131033

Tidak jauh dari situ juga adalah sebuah tasik yang sangat indah bernama Danau Maninjau. Ia juga menawarkan salah satu pemandangan terbaik sekiranya ingin diabadikan di dalam gambar. Berdekatan dengan Danau Maninjau juga adalah rumah kelahiran salah seorang sasterawan tersohor dunia persuratan Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam, iaitu Hamka.

20180218_123840

20180218_115320

Rumahnya juga kini dijadikan seperti sebuah muzium untuk pelawat yang ingin mempelajari tentang kisah hidup tokoh penting ini. Malah rumah itu kini dijaga oleh ahli keluarganya sendiri yang bertanggungjawab mengingatkan sumbangan beliau kepada pihak umum.

 

Kalau soal menjamu selera pula, Padang sememangnya sinonim dengan masakan Minangkabau seperti rendang dan lauk-pauk yang menggunakan cili serta lada untuk menghasilkan rasa pedas. Ini jelas terlihat dalam hidangan Nasi Padang yang diberikan kepada semua pengunjung yang singgah makan di restoran atau ‘rumah makan’ Nasi Padang. Dengan aneka pilihan sajian, para tamu yang pertama kali ‘bertemu’ dengan Nasi Padang, pasti akan teruja dan ingin mencuba semua yang ada di depan mata.

20180215_175231

20180218_141628

Jadi jika anda ingin melawat dan mengalami sendiri tempat-tempat menarik yang disebutkan tadi berkunjunglah ke Padang. Bukan sahaja dekat, malah perbelanjaannya juga tidak terlalu mahal dan sangat berpatutan. Selain penduduknya yang ramah mesra, pilihan makanannya juga sangat memuaskan!

 

 

*Terima Kasih kepada Badan Penguatkuasa Pelancongan Sumatera Barat atas segala bantuan dan penghargaan khas buat pihak P.T. Bravo Tours yang telah sudi membantu untuk menjayakan laporan ini.

 

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!