95077

The Marmara Park Avenue : Alamat Mewah Terkini New York - Suria FM - Segalanya Hiburan

Kota New York merupakan salah satu bandar raya tersohor dunia dan sampai sekarang ia menjadi tumpuan semua yang ingin merasa suasana metropolitan antarabangsa. Dengan ratusan tarikan dan acara yang sering diadakan di situ, tidak hairnalah sekiranya banyak tempat penginapan berlumba-lumba untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Bukan sahaja bandar yang mempunyai pencakar langit, malah terdapat juga tempat-tempat untuk dilawati seperti muzium, tempat hiburan dan juga pusat membeli belah.

Sekiranya tercari-cari tempat penginapan mewah yang menepati suasana percutian berkeluarga di bandar raya itu, ada satu alamat yang mula mencipta nama dan menjadi pilihan golongan elit di sana, iaitu The Marmara Park Avenue. Terletak di daerah eksklusif Park Avenue, The Marmara terletak betul-betul di kawasan berdekatan pusat perniagaan dan pusat membeli belah di bandar ini.

Terdapat banyak sebab mengapa hotel ini harus dipilih untuk menjadi penginapan di sini. Yang pertama, lokasinya yang amat strategik. Terdapat stesen keretapi bawah tanah atau ‘subway’ tidak jauh dari hotel. Bukan itu sahaja, terdapat deretan restoran dan kedai berdekatan hanya dengan berjalan kaki. Pusat-pusat membeli-belah ini mempunyai pelbagai kedai menarik dari jenama tempatan mahupun antarabangsa, serta taman permainan kanak-kanak. Ini termasuk aneka restoran, termasuk gerai yang menjual makanan halal, panggung wayang dan macam-macam lagi.

Sebab kedua, tempat ini sesuai sebagai penginapan adalah perkhidmatan peribadi yang disediakan. Ini terlihat dengan layanan para pekerja yang sangat peka, teliti dan peramah. Selain itu setiap unit pangsapuri eksklusif ini mempunyai sambungan internet wi-fi untuk kemudahan para tamunya. Ini menjadikannya sangat sesuai untuk tamu yang berkunjung.

Yang ketiga pula adalah pilihan jenis-jenis penginapan yang ditawarkan. Jenama Marmara memang terkenal sebagai penginapan berkonsepkan pangsapuri mewah. Dengan jumlah unit pangsapuri mewah yang banyak, terdapat beberapa jenis unit yang disediakan oleh mereka seperti iaitu bilik penginapan umum, studio, unit 1 bilik, 2 bilik ataupun unit dua tingkat dan ‘penthouse’ yang boleh diduduki oleh keluarga yang ramai dengan keluasan yang sangat selesa.

Ia juga mempunyai restoran The 114 yang menyediakan juadah enak dengan pelbagai pilihan termasuk makanan berunsur sayuran dan makanan laut juga . Tidak dilupakan untuk beriadah terdapat kolam renang, gimnasium, pusat spa untuk memanjakan diri dan juga ruang main kanak-kanak. Kemudahan yang ditawarkan benar-benar seperti di hotel lima bintang yang lain. Lebih istimewa, sesuai dengan jenama hotel dari Turki ini terdapat juga sebuah hammam khas di ruang riadah.

Hotel ini juga satu-satunya hotel yang mempunyai pemandangan bangunan pencakar langit Chrysler berkat balkoninya yang berlatarbelakangkan bangunan-bangunan di kawasan sekitar. Tidak hairanlah sekiranya ia sering menjadi lokasi para selebriti A-list untuk sesi fotografi.

Pendek kata hotel ini memang sesuai buat penginapan mewah di tengah kota New York. Apalagi dengan kedudukannya yang sangat strategik dikelilingi pelbagai tarikan, pengalaman pasti menyenangkan setiap yang berkunjung ke sini!

 

Artikel sumbangan: Shah Shamshiri

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!