93694

Wang Saku Dapat Bentuk Keperibadian Anak. Cubalah! - Suria FM - Segalanya Hiburan

Bagaimana anda sebagai ibu bapa menentukan bila anak-anak patut diberi duit poket dan berapa jumlah yang sepatutnya mereka terima?

Sebenarnya pemberian wang saku ini adalah peluang terbaik anak-anak untuk belajar tentang tanggungjawab dan pengurusan wang mereka sendiri.

Ia sekaligus mengajar mereka untuk berdikari, bersabar, memupuk sifat pemurah dan menghargai.

Sebagai permulaan, memberi anak-anak anda duit poket mengikut umur mereka; sebagai contoh anak berusia 10 tahun mendapat RM10 setiap minggu.

Selain itu, ia juga bergantung kepada situasi kewangan dan faktor sekeliling.

Semakin mereka membesar, jumlah itu juga ditingkatkan bersesuaian dengan keperluan mereka. Amaun diberikan juga sepatutnya dapat membantu aktiviti harian mereka seperti membeli makanan dan tambang bas dan mempunyai baki untuk simpanan.

Ajar anak-anak anda menabung hasil daripada wang saku yang diterima mereka.

Adalah penting buat ibu bapa untuk berbincang dengan anak-anak tentang penggunaan wang saku yang diberi.

Ibu bapa sebenarnya boleh mula memberi wang tersebut seawal mereka memasuki tadika atau pun sekolah rendah bagi membolehkan mereka membeli makanan sendiri di kantin atau barang keperluan di kedai buku sekolah.

Cara ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk menghargai wang tetapi juga membantu mereka mahir dalam matematik.

Bagaimanapun terdapat beberapa cara lain untuk mengajar anak-anak lebih menghargai wang yang diterima dengan meminta mereka melakukan sesuatu kerja untuk mendapat wang tambahan.

Jika mereka ingin membeli sesuatu, mereka perlu diberitahu agar menyimpan wang saku, malah cara ini dapat mengajar mereka berdisiplin dan memahami erti kesabaran.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh diikuti oleh ibu bapa:

1. Bantu anak-anak membuat bajet berdasarkan wang saku diberikan termasuk menyimpan sebahagian wang tersebut.

2. Jangan kawal atau tetapkan peraturan tentang bagaimana anak-anak membelanjakan wang mereka, sebaliknya tetapkan limit dan hanya masuk campur sekiranya mereka berbelanja untuk perkara tidak berfaedah.

3. Tegas tentang jumlah dan tempoh wang saku diberikan. Jika anak-anak minta lebih jangan sewenang-wenangnya berikan wang tambahan.

4. Sekiranya anak-anak membuat perangai, jangan potong wang saku mereka sebaliknya beri hukuman lain seperti tidak boleh menonton televisyen atau pun menyekat penggunaan internet.

5. Jika mahu anak-anak bertanggungjawab dan disiplin dengan penggunaan wang mereka – ibu bapa juga harus tunjuk contoh yang baik. – Star2

Kredit artikel & gambar: mStar 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!