100087

Wow! Hanya RM240 Untuk Trip 3 Hari Ke Pulau Tioman… Jom Tiru Tip Kakak Backpackers - Suria FM - Segalanya Hiburan

PERCAYA atau tidak, jika dikatakan anda hanya memerlukan bajet sekitar RM240 seorang untuk bercuti selama tiga hari di Pulau Tioman?

Kedengaran seperti tidak masuk akal, bukan?

Namun itulah jumlah bajet sebenar sebagaimana yang dikongsikan oleh seorang kaki travel ini ketika bercuti di pulau peranginan yang terkenal di negeri Pahang itu.

Wanita bernama Farha Rosli ini turut memperincikan setiap wang yang dibelanjakan sepanjang trip tiga hari dua malam (3H2M) di pulau tersebut yang dikongsikan di saluran YouTube miliknya, Kakak Backpackers.

“Sebenarnya saya memperuntukkan RM300 untuk trip tersebut tetapi akhirnya hanya membelanjakan RM240 sahaja.

“Ramai yang beranggapan bercuti di pulau memerlukan kos yang sedikit tinggi tapi percayalah, anda masih mampu bercuti dengan harga berpatutan.

“Dan inilah misi utama saya mewujudkan Kakak Backpackers, iaitu berkongsi dengan orang di luar sana mengenai tip-tip percutian dengan bajet yang rendah namun tetap selesa,” katanya kepada mStar.

Menurut wanita berusia 33 tahun ini, jumlah RM240 tersebut termasuk tiket feri pergi dan balik, kos penginapan, makan serta aktiviti yang dilakukan sepanjang berada di sana.

“Saya perincikan setiap perbelanjaan termasuk kos makan dan penginapan di dalam YouTube Kakak Backpackers, jadi mana yang ambil tip tersebut seratus peratus dipersilakan.

“Ini kerana saya lebih sasarkan kepada golongan yang nak sangat pergi bercuti tetapi ada kekangan bajet. Tapi bagi golongan yang berkemampuan, tak ada masalah kalau nak pergi dengan travel agent. Itu terpulang kepada keselesaan masing-masing,” katanya yang merupakan seorang usahawan percetakan (printing).

Bercerita serba sedikit mengenai Kakak Bacpackers, Farha berkata idea untuk menghasilkan saluran YouTube tersebut tercetus secara spontan.

“Saya sebenarnya memang suka melancong sama ada dalam dan luar negara. Banyak lokasi di luar negara yang telah dikunjungi dengan bajet yang jauh lebih murah, boleh dikatakan separuh daripada bajet kalau pergi menerusi travel agent.

“Contohnya, saya hanya membelanjakan sekitar RM1,350 sepanjang trip 10 hari ke Korea Selatan termasuk dengan tiket penerbangan.

“Trip ke New Zealand pula hanya peruntukkan bajet berjumlah RM4,000 untuk 15 hari di bahagian ‘south island’. Bajet termasuk motorhome, makan, penginapan, tiket penerbangan pergi balik. Begitu juga trip ke Jepun, Hong Kong, Australia dan lain-lain.

“Kemudian ramai sangat kawan-kawan tanya ‘macam mana kau boleh pergi dengan bajet yang rendah?’. Baru-baru ni pun saya hanya keluarkan RM150 untuk pusing 12 pulau di Mersing. Disebabkan ramai sangat tanya, sebab itulah saya putuskan untuk wujudkan Kakak Backpackers,” ujarnya lagi.

Baru menginjak usia dua bulan, buat masa ini Kakak Backpackers lebih menumpukan untuk meneroka destinasi dalam negara terlebih dahulu ekoran kekangan wabak Covid-19.

“Saya mulakan dengan destinasi dalam negara buat masa ini. Kalau boleh, misi Kakak Backpackers nak terokai setiap negeri dan daerah yang menyimpan ‘permata yang tersembunyi’. Selalu orang tahu bandar yang besar-besar je kan.

“Dalam masa yang sama, secara tak langsung dapat perkenalkan destinasi menarik serta boleh promosikan juga tempat makan atau penginapan. Yang paling utama, bajet saya untuk destinasi dalam negara hanya RM300.

“Moga dengan perkongsian ini, secara tak langsung boleh beri tip-tip kepada orang lain. Jangan takut pasal bajet sebab ia boleh diatur… yang penting banyak buat research,” katanya mengakhiri bicara.

Kredit gambar dan artikel mStar

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!