91856

70 Buah Gerai Makanan Warisan Etnik Jadi Daya Penarik - Suria FM - Segalanya Hiburan

70 buah gerai makanan yang terdiri daripada pelbagai juadah dan hidangan masakan warisan etnik-etnik di seluruh Selangor seperti makanan Melayu, Jawa, Banjar, Rawa, Mandaling, Cina, India dan orang asal merupakan antara tarikan program SENADA Festival Makanan Warisan Selangor yang bakal diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 22 dan 23 Disember ini.

Program anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warian Negeri Selangor ini bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai makanan dan masakan warisan etnik-etnik yang terdapat di Selangor dan menarik minat masyarakat untuk bersama-sama memelihara warisan bangsa yang menjadi kebanggaan serta memperkukuhkan perpaduan antara kaum.

Malah, program sebegini akan memperlihatkan keunikan dan kepelbagaian menu masakan warisan yang semakin kurang dihasilkan dan mengetengahkan makanan warisan yang mempunyai potensi untuk dikomersilkan.

Antara aktiviti yang akan diadakan selama dua hari tersebut adalah seperti pertandingan memasak nasi ambeng, pertandingan membuat kuih kapit terbanyak, pertandingan memasak nasi periuk tanah, pertandingan mengacau dodol dan kelas chef cilik. Bukan itu sahaja, program ini turut menganjurkan demonstrasi memasak dan menyediakan hidangan warisan tersebut selain ‘food tasting’ secara percuma disamping persembahan kebudayaan.

Suria turut menganjurkan mini jelajah Team Pagi Suria Belanja Makan dimana Team Pagi Suria akan belanja makan kepada 50 orang pendengar pertama yang menunjukkan aplikasi SURIA yang telah dimuat turun ke telefon pintar mereka. Pengunjung juga berpelunag mendapatkan T-shirt dan barangan eksklusif SURIA yang turut dijual di booth SURIA. Bukan itu sahaja, mini jelajah ini turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan seperti Nabila Razali, Ben Ladin, Luqman Faiz dan Fieya Julia.

Lihat juga keletah barisan penyampai radio SURIA seperti Issey, Fizi Ali, Feeya Iskandar, Sharifah Shahirah, Tyzo dan DJ Lin yang akan terlibat dalam aktiviti pentas seperti demo membuat kuih kapit dan membuat lempeng pisang.

Program ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Abdul Rashid bin Asari, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan, Pelancongan dan Peradaban Melayu & Warisan merangkap Pengerusi Padat. Maklumat lanjut mengenai program festival dan program-program anjuran PADAT, sila layari laman sesawang www.padat.gov.my.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!