93239

80% Peratus Tiket Konsert Terakhir BOYZONE Di Kuala Lumpur Laris Dijual! - Suria FM - Segalanya Hiburan

Lebih 5,000 penonton dijangka membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam pada 14 Jun ini bagi menyaksikan kumpulan kesayangan mereka, Boyzone, beraksi di pentas buat kali terakhir.

Terkini, jualan tiket bagi konsert Thank You & Goodnight Farewell Tour 2019 jam 8.30 malam itu adalah berterusan dan penganjurnya Wowstar Creative Entertainment mengesahkan lebih 80 peratus tiket telah laris dijual.

Tiket dijual pada harga-harga RM198, RM438, RM588 dan RM688.

Kumpulan terkenal dari Ireland yang dianggotai Ronan Keating, Shane Lynch, Keith Duffy dan Mikey Graham akan memukau peminat dengan adunan lagu popular sepanjang karier nyanyian mereka.

“Kuala Lumpur adalah antara bandar paling penting bagi rancangan strategik Wowstar di Asia.

“Ia satu penghormatan bagi kami kerana berjaya membawa lagenda kumpulan pop dari Ireland ini kembali ke Kuala Lumpur untuk mempersembahkan konsert terakhirnya kepada peminat-peminat Malaysia pada Jun ini,” kata Gloria Wei, Ketua Pegawai Eksekutif Wowstar Creative Entertainment.

Terkini, syarikat terbabit telah berjaya menganjurkan persembahan penyanyi dan penulis lagu berasal Amerika Syarikat iaitu Jason Mraz di Asia termasuk di Kuala Lumpur pada 13 Mei lalu.

Untuk bulan-bulan berikutnya, syarikat hiburan tersebut akan menganjurkan persembahan artis dan kumpulan antarabangsa termasuk beberapa kumpulan pop, rock dan penyanyi fenomena dan popular di Asia.

Walaupun baru berusia setahun lebih dalam beroperasi, Wowstar Creative Entertainment telah berjaya menganjurkan antara 40 hingga 50 konsert dan melabur dalam 10 projek filem berbahasa Kantonis atau Mandarin.

Ini merangkumi barisan bintang K-Pop, J-Pop, Hong Kong and Mandarin, artis dan kumpulan antarabangsa serta pelaburan strategik dalam filem blockbuster aksi ‘urban terrorism’ berjudul, “Shock Wave 2” hasil terbitan dan lakonan pelakon popular Andy Lau.

“Kami mengalu-alukan hubungan akrab dengan rakan kongsi kami yang sedia ada di rantau Asia Pasifik ini, dan kami ingin membina hubungan baru dengan rakan kongsi berpotensi dalam pasaran” kata Wei.

Beliau juga berkata syarikatnya telah membuktikan kemampuannya sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai dan bernilai tinggi tidak kira sebagai penganjur, agen promosi, penerbit, pengagih atau pelabur.

Selain menganjur konsert dan live music, Wowstar Creative Entertainment turut mengurus serta melatih para artis disamping menerbit serta mengagih filem, program televisyen serta komersial.

Ini membuktikan bahawa Wowstar Creative Ebtertainent merupakan salah satu syarikat paling pesat berkembang dalam dunia hiburan.

“Kami berkebolehan untuk berkembang kerana kami memahami kehendak pelanggan Asia. Kami juga berpengalaman dalam membantu rakan kongsi kami, termasuk para artis dan jenama mereka untuk berjaya di benua Cina, ASEAN dan beberapa negara Asia,” tambah Wei.

Dengan perolehan tahunan melebihi puluhan juta dolar Amerika, Wei berkata unjuran pertumbuhan syarikat adalah sebanyak dua kali ganda dari tahun ke tahun pada 2020.

BERKENAAN BOYZONE

Boyzone mengadakan persembahan buat pertama kalinya di Kuala Lumpur pada Ogos 2018 bersempena ulang tahun penubuhan mereka yang ke-25. Thank You & Goodnight, album studio ke tujuh dan terakhir kumpulan terbabit dikeluarkan pada November 2018. Dream adalah single bagi promosi album Thank You & Goodnight, menampilkan Steven Gately sebagai vokal. Gately sebelum itu merakam versi solo lagu terbabit sebagai b-side kepada single Stay pada tahun 2001. Kumpulan itu mengambil keputusan merakam semula lagu tersebut dengan menambah vokal mereka kepada versi Gately, secara langsung memasukkan arwah ahli kumpulan Boyzone itu ke dalam album studio terakhir mereka. Dengan pelancaran album terakhir, Boyzone memulakan Jelajah Thank You & Goodnight Farewell pada Januari 2019, di United Kingdom dan Ireland, diikuti Australia, New Zealand, Eropah dan Asia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: fb.com/WowstarCreativeEntertainment/

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!