72794

Ada Apa Dengan Pengabdi Setan - Suria FM - Segalanya Hiburan

whatsapp-image-2017-11-22-at-1-08-02-pm-1

Sekilas menonton sedutan filem horror Pengabdi Setan kelihatannya ia mengandungi bahan-bahan lengkap filem seram Asia– wanita berambut panjang berpakaian putih, rumah tua di tepi kubur, perigi tua, loceng nyaring, dan anak-anak kecil yang comel.

Tapi cara semua bahan-bahan ini diramu dan diolah oleh sang pengarah, Joko Anwar, telah berjaya menjadikan Pengabdi Setan filem seram terlaris di Indonesia.

Disokong dengan kempen media sosial yang lucu dan menarik perhatian, filem ini telah berjaya mendapat lebih daripada 4 juta orang penonton selepas 53 hari ditayangkan. Bukan itu sahaja, Pengabdi Setan juga akan ditayangkan di 26 negara luar, termasuk Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, filem ini telah memenangi 6 anugerah di Festival Filem Indonesia, termasuklah anugerah Penata Efek Visual Terbaik, Penata Muzik Terbaik dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Ada apa dengan Pengabdi Setan?

Kisahnya Sang Ibu, Mawarni Suworno (Ayu Laksmi) seorang penyanyi terkenal jatuh sakit dan terlantar di katil rumahnya selama 3 tahun. Keluarganya bergolok-gadai semuanya untuk menjaga ibu, termasuklah menggadaikan rumah dan berpindah ke rumah tua Nenek (Elly D. Luthan).

Satu hari Ibu meninggal dan Bapak (Bront Palarae) terus ke luar kota untuk urusan kerja. Di situlah bermulanya perjalanan menyeramkan untuk Rini (Tara Basro) dan adik-adiknya Tony, Bondi, Ian (Endy Arfian, Nasar Annuz dan Muhammad Adhiyat).

whatsapp-image-2017-11-22-at-1-08-02-pm

Sewaktu ketiadaan Bapak, anak-anak ini dibantu oleh jiran mereka, Ustaz (Arswendi Nasution) dan anaknya Hendra (Dimas Aditya), serta teman baik Nenek, Budiman Syailendra (Egy Fedly), seorang penulis majalah seram.

Apa yang membuat Pengabdi Setan versi Joko Anwar berbeza dengan filem-filem seram yang dilambakkan di pawagam tempatan?

Bagi penulis, jalan ceritanya yang tidak rumit dan babak-babak mencemaskan yang disusun rapi menjadi tunjang filem ini.

Dilengkapi dengan ‘chemistry’ dan kualiti lakonan para pelakon serta runut bunyi dan rekaan bunyi yang istimewa pasti memberi pengalaman unik bagi para penonton. Faktor pemilihan lokasi yang tepat serta penggarapan tatabusana yang sesuai menjadi pelengkap.

Katanya ada beberapa adegan yang muncul di filem ini mempunyai ‘pelakon’ dan kesan bunyi ‘tambahan’ dari dunia lain. Mungkin itu juga menjadi faktor rakan-rakan media lain tak senang duduk di dalam pawagam sewaktu tayangan media kelmarin. Diselang-seli dengan jeritan kecil terkejut dan bisikan istighfar, seram filemnya. Cukup seram.

Peringatan penulis– jangan keluar terlalu awal dari panggung wayang. Tunggulah sehingga kredit filem habis. Mungkin ada kejutan yang menanti.

whatsapp-image-2017-11-22-at-1-08-02-pm-2

Paling penting, jangan tonton versi cetak rompak yang dimuat turun dari internet. Hilang nikmat mendengar runut bunyinya yang sangat bagus dan menikmati keindahan sinematografinya di layar lebar.

Pengabdi Setan akan mula ditayangkan di Malaysia pada 23 November ini. Selamat bertemu dengan Ibu dan keluarganya ya.

Sumbangan : Ili Farhana Mohamed (@ilitinyadventures)

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!