100646

Adele Dituduh Eksploitasi Budaya Afrika Gara-Gara Bertocang Bantu - Suria FM - Segalanya Hiburan

PENYANYI terkenal Adele menerima kecaman netizen selepas berkongsi fotonya memakai bikini dengan corak bendera Jamaica dan bertocang Bantu.

Tocang Bantu sangat terkenal dan menjadi fesyen dalam kalangan wanita Afrika.

Foto tersebut dimuat naik di Instagram milik penyanyi itu pada Ahad sempena acara tahunan Karnival Notting Hill yang terpaksa dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

“Selamat hari Karnival Notting Hill, London,” tulis Adele pada kapsyen posting tersebut.

Rata-rata netizen meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan Adele yang didakwa mengeksploitasi budaya dan adat bangsa Afrika.

“Jika tahun 2020 belum cukup ganjil, Adele mengeksploitasi budaya Afrika dengan tocang Bantu. Ini secara rasminya menandakan semua wanita kulit putih yang berstatus popular dan hebat sebagai bermasalah,” komen seorang netizen.

Dalam pada itu, seorang peminat penyanyi Someone Like You ini menyebelahi Adele dan mengatakan ia merupakan keraian yang biasa disambut warga United Kingdom tidak kira bangsa dan warna kulit.

“Karnival Notting Hill ini diadakan setiap tahun untuk meraikan keturunan West Indie di London dan United Kingdom. Adele membesar di Tottenham, salah satu bandar yang mempunyai penduduk berketurunan Jamaica paling ramai di United Kingdom. Ini perkara yang aneh untuk orang Amerika ambil hati,” ujarnya.

Karnival Notting Hill meraikan komuniti kaum kulit hitam dan Caribbean yang menetap di United Kingdom.

Kredit gambar dan artikel mStar dan E Entertainment

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...