Sedekad dalam industri muzik, Malaysia menjadi lokasi pertama Afgan meraikan ulang tahun ke-10 dalam industri bersama peminat menerusi Konsert DEKADE Live in Kuala Lumpur 2018. Jeritan lebih 2,000 orang penonton di Plenary Hall, KL Convention Centre menjadi bukti keunggulan salah satu penyanyi dan penulis lirik terkemuka Indonesia ini.

Konsert Afgan kali ini ternyata berbeza dari semua konsert yang pernah diadakan di Malaysia sebelum ini. “Konsert ini begitu peribadi bagi saya kerana ia adalah sebagai tanda penghargaan saya kepada semua peminat yang setia menyokong selama ini. Saya ingin membawa penonton secara peribadi mengikuti perjalanan karier saya di dalam industri dan berkongsi perasaan dan pengalaman selama 10 tahun bergelar anak seni. Berada begitu dekat dan intim ialah sesuatu yang belum pernah saya lakukan sebelum ini” kata Afgan.

Konsert DEKADE Live in Kuala Lumpur 2018 berlangsung selama hampir 3 jam dan dimulakan dengan lagu Jalan Terus yang memperlihatkan kemampuan vokal Afgan yang tersendiri. Kelainan susunan muzik serta persembahan vokal yang memukau berjaya membuai peminat ke dalam suasana begitu intim dan romantis dan menyaksikan rangkuman perjalanan karier Afgan bermula dari album pertama, Confession No.1 pada 2008 hingga album terkini beliau berjudul, DEKADE.

Afgan yang diiringi The Gandarianz menyampaian seleksi lagu hits seperti Pesan Cinta, Love Again, Kunci Hati, Jodoh Pasti Bertemu, Sudah dan juga duet bersama kumpulan Hip Hop dan R&B Malaysia, Ruffedge menerusi lagu I’ll Make Love to You. Gandingan Afgan dan Ruffedge cukup menyegarkan halwa telinga dan penonton terasa dibuai dengan kemerduan gandingan magis tersebut. Di samping penampilan yang cukup segar, kumpulan yang telah ditubuhkan lebih 20 tahun lalu turut mempersembahkan lagu Bila Rindu.

Momentum konsert diteruskan dengan persembahan Afgan menerusi lagu-lagu hits beliau sejak 2008 yang membuat penonton mula menari mengikut rentak lagu. Lebih 20 buah lagu dipersembahkan pada konsert ini menyaksikan rata-rata peminat menyanyi hampir kesemua lagu yang dipersembahkan. Sebaik konsert berakhir, seramai 100 orang pembeli tiket VVIP dibawa ke sesi Meet & Greet bersama Afgan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Production Sdn Bhd, Nik Iruwan Nik Izani menyifatkan kejayaan konsert ini menyuntik semangat beliau untuk terus menghasilkan lebih banyak konsert antarabangsa yang berskala besar. Beliau juga amat menghargai sokongan peminat muzik di Malaysia khususnya peminat setia Afgan terhadap konsert ini. Konsert ini turut menyaksikan kehadiran Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan mencemar duli berangkat ke konsert ini dan para selebriti yang turut hadir adalah seperti Fazura, Laudya Cynthia Bella, Zahirah Macwilson, Putri Aisyah, Sasqia, Elvina, Sasha Saidin, Maria Tunku Sabri, Nazim Othman, Amin Hayat Lia Natalia, Ruhainies, Zoey, Aprena Manrose, Aishah Azman, Afifah Nasir dan ramai lagi.

Konsert DEKADE Live in Kuala Lumpur 2018 turut mendapat sokongan Maybank, Hot FM dan Kool FM, Turkish Airlines, Redbox, E&O Residences dan Hamza Motors.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!