72006

Aiman Tino Luah Perasaan Sebaik Sahaja Berjumpa Adik Ainul - Suria FM - Segalanya Hiburan

Hasrat adik kecil yang baru berusia tiga tahun yang menghidap penyakit Leukimia untuk berjumpa bersama penyanyi kesukaannya, Aiman Tino tercapai apabila penyanyi itu muncul di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini (Jumaat, 10 Feb 2017).

Sejurus sahaja Aiman Tino mendapat tahu tentang hasrat peminat ciliknya itu, beliau terus membuat keputusan untuk berjumpa dengan adik Ainul tanpa fikir panjang.

KUALA LUMPUR 10 FEBRUARY 2017. Penyanyi, Aiman Tino meluangkan masa melawat pesakit leukimia, adik Ainul Mardihah Mohd Zulkurnaim, 3, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN (Untuk Afil - RAP)

Kelakuan adik Ainul yang sering menyebut namanya ketika melakukan rawatan kemoterapi telah menyentuh hati Aiman Tino.

Apa yang difahamkan, Aiman Tino sepatutnya perlu ke Terengganu untuk mengadakan persembahan tetapi beliau sanggup melewatkannya hanya demi adik Ainul.

“Sepatutnya saya ke Terengganu sekarang, tetapi mengenangkan permintaan adik Ainul yang disampaikan oleh bapanya kepada pihak pengurusan, kita selitkan pertemuan ini. Lawatan ini tidak dirancang dan oleh kerana ada sedikit waktu terluang, saya sedia bertemu adik Ainul. Apabila mendapat tahu mengenai penderitaannya, saya jadi sebak. Tak dapat saya bayangkan macam mana kanak-kanak seusia dengannya mampu melawan penyakit seperti ini. Saya harap kehadiran saya dapat mengurangkan sedikit tekanan selain memberikan kegembiraan kepadanya.”

Bagi Aiman Tino, beliau sedia berjumpa dengan peminatnya yang sedang berlawan dengan penyakit bagi memberikan semangat untuk terus melawan.

“Saya dimaklumkan adik Ainul menghidap penyakit ini sejak bayi lagi. Itu membuatkan saya sebak kerana saya juga mempunyai adik yang masih kecil. Kita sama-sama rasai apa yang dialami Ainul, apatah lagi saat perlu melakukan rawatan kemoterapi. Harapan saya semoga adik Ainul dan kanak-kanak lain yang senasib dengannya kuat serta tabah mengharungi dugaan ini. Insya-Allah, kalau ada kesempatan dan kelapangan saya akan datang ziarah lagi.”

Terima kasih buat Aiman Tino kerana sanggup meluangkan masa untuk adik Ainul dan apa yang boleh dikatakan, semoga adik Ainul terus tabah dan bangkit untuk melawan penyakit yang dihadapi olehnya.

Sumber : BH Online

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!