72748

Akhirnya Fasha Sandha Diiktiraf Sebagai Pelakon Wanita Terbaik - Suria FM - Segalanya Hiburan

Selepas lebih 15 tahun berjuang sebagai pelakon dalam industri hiburan tempatan, akhirnya pelakon popular, Fasha Sandha dapat merasai menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik di tangannya.

Fasha menerima pengiktirafan itu di Anugerah Skrin 2017 menerusi lakonan mantapnya dalam drama Terima Kasih Ramadan yang berlangsung pada jumaat lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra PWTC.

screen-shot-2017-11-06-at-12-11-11-pm

Sebelum ini Fasha banyak menerima anugerah yang mengiktiraf populariti yang melibatkan undian peminat. Ini adalah kali pertama beliau menerima anugerah yang mengiktiraf bakat lakonannya.

“Alhamdulillah ini merupakan anugerah yang kesembilan saya terima. Sebelum ini saya pernah menang anugerah untuk Anugerah Bintang Popular, Anugerah Meletop, dan Anugerah Majalah EH!

Ini adalah pencalonan kedua saya untuk Anugerah Skrin selepas 9 tahun lalu. Alhamdulillah saya tidak menjangka kemenangan ini dan saya tidak sediakan teks ucapan. Saya bersyukur bakat saya diiktiraf dan diangkat setinggi ini”, jelasnya.

screen-shot-2017-11-06-at-12-12-30-pm

Ditanya adakah beliau tidak berasa ralat kerana harus menunggu 15 tahun untuk menjulang trofi pelakon terbaik sedangkan ada yang beranggapan bahawa beliau sudah layak membawa pulang trofi itu dari dulu lagi, katanya juri lebih arif untuk menilai.

“Saya tidak rasa ralat kerana ada pelakon yang dah berlakon berbelas-belas tahun tak pernah menang apa-apa anugerah pun. Saya rasa bersyukur kerana selepas berbelas tahun menjadi pelakon akhirnya saya diiktiraf. Saya anggap ini rezeki anak-anak saya dan ibu saya”, luahnya.

Tahniah SURIA ucapkan kepada Fasha Sandha kerana akhirnya dijulang sebagai Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!