84402

Akim & The Majistret Bakal Tampil Dengan Lagu Mandarin - Suria FM - Segalanya Hiburan

akim1

Kumpulan popular Akim and The Majistret nampaknya terus mengorak langkah dalam industri muzik serantau.

Selepas memenangi pelbagai anugerah sepanjang pembabitan mereka dalam arena hiburan, mereka memberitahu bahawa mereka bakal tampil dengan lagu Mencari Laila dalam bahasa Mandarin.

Menurut Akim yang juga vokalis utama kumpulan tersebut, lagu itu sudahpun dirakam dan dia sendiri tak sabar menanti reaksi pendengar yang fasih berbahasa Mandarin.

Akim juga menjelaskan bahawa dia mempunyai perancangan untuk mempelajari bahasa Mandarin sekiranya mempunyai kelapangan waktu nanti.

“Untuk versi Mandarin ‘Mencari Laila’ kami ada penyelia yang telah membantu untuk memastikan sebutan saya betul sewaktu merakamkan lagu tersebut di dalam studio. Kami harap ia akan dapat diterima dengan baik oleh para pendengar nanti,” jelas Akim kala ditemui di sidang media Konsert Planet Akim & The Majistret di ibukota baru-baru ini.

akim2

Sehubungan dengan itu para peminat Akim & The Majistret di Singapura pasti teruja apabila kumpulan popular ini bakal mengadakan konsert pertama mereka di negara jiran itu nanti.

Konsert anjuran Adi Media Ptd Ltd itu akan diadakan di Esplanade pada 26 Januari 2018.

Pengasas Adi Media, Nur Dian Mohamad Rashid berkata, konsert berkenaan adalah hadiah kepada peminat Akim & The Majistret terutama daripada Singapura yang tidak dapat hadir ke konsert mereka di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada Februari lalu.

“Ia juga sebagai tanda terima kasih kepada peminat di Singapura yang tidak jemu-jemu menyokong mereka,” katanya.

Konsert yang akan bermula jam 8 malam itu adalah konsert berskala besar pertama buat kumpulan yang popular dengan lagu Mewangi, Potret, Obses dan Lagu Untuk Laila itu.

Nur Dian berkata, Akim & The Majistret menjadi pilihan mereka kerana yakin dengan kemampuan kumpulan itu menarik peminat.

“Ramadan lalu, mereka mengadakan persembahan di Celeb-Fest Singapore 2017 anjuran kami. Walaupun hanya membawa dua lagu secara akustik, tetapi peminat yang hadir cukup ramai. Saya yakin peminat Akim & The Majistret di Singapura ternanti-nantikan kehadiran mereka,” katanya.

Menurut Nur Dian, selain peminat di negara itu, mereka juga mengharapkan peminat Akim & The Majistret di Malaysia turut hadir menyaksikan konsert berkenaan.

Akim & The Majistret yang pernah menang Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-30 tahun lalu bakal membawa 18 lagu dalam konsert itu.

“Saya yakin peminat akan ‘enjoy’ dengan konsert mereka nanti,” katanya. Nur Dian berkata, tiket sudah mula dijual sejak 16 November lalu dan sambutannya amat menggalakkan.

Tiket-tiket berharga $148 (Kategori 1), $108 (Kategori 2), $88 (Kategori 3), $66 (Kategori 4), $48 (Kategori 5 – restricted view), $88 (Kategori 6 -restricted view) dan $68 boleh dibeli secara online di www.apactix.com.

akim3

Bagi pembeli tiket Kategori 1, mereka berpeluang menghadiri sesi ‘meet & greet’ bersama Akim & The Majistret.

Sementara itu, Akim & The Majistret cukup teruja apabila diberi peluang mengadakan konsert pertama mereka di Singapura.
“Kami berjanji akan memberikan persembahan terbaik. Kami yakin peminat di Singapura tidak akan kecewa,” katanya.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!