90071

Aksi Persilatan Hebat dalam Wiro Sableng: Pendekar Kapak Maut Naga Geni - Suria FM - Segalanya Hiburan

Mungkin sudah agak lama juga penonton wayang Malaysia tidak menyaksikan filem-filem Indonesia yang berlatarbelakangkan dunia persilatan purba yang satu ketika dahulu sangat popular sekitar era 80-an. Malah masa kini, kita lebih banyak disajikan  dengan filem-filem Indonesia bertema seram dan cinta yang sering menjadi pilihan generasi masa kini.

Walau bagaimanapun syarikat penerbitan filem tersohor dunia, Twentieth Century Fox mengambil langkah berani dengan memperkenalkan sebuah filem hasil kerjasama produksi Indonesia, Wiro Sableng: Pendekar Kapak Naga Geni di Malaysia.

Ia sebenarnya sesuatu yang agak menyegarkan juga, kerana filem dengan tema persilatan purba memecah tradisi filem cinta dan seram dari seberang yang sering membanjiri pawagam kita.

Lebih menarik lagi Wiro Sableng sebenarnya merupakan watak sebuah buku bersiri yang sangat dikenali di Indonesia dan pernah diangkat menjadi siri televisyen di negara tersebut pada awal 90-an. Kini penonton Malaysia pula berpeluang mengenalinya dan kisah di sebalik wataknya.

Membariskan nama-nama besar dunia perfileman Indonesia, ia menampilkan Vino Bastian, Marsha Timothy, Sherina Munaf serta ramai lagi bintang hebat negara tersebut.

Memaparkan jalan cerita yang agak mudah namun tetap menarik, ia menceritakan tentang pembalasan dendam dan permintaan seorang tuan guru. Dan sejajar dengan konsep cerita ala ‘pendekar’ ia tidak lekang daripada koreografi silat serta penggarapan babak-babak aksi yang hebat.

Buat anda yang dah lama dahagakan filem ‘silat dan pendekar’, ini mungkin filem yang anda nanti-nantikan.

Wiro Sableng : Pendekar Kapak Naga Geni bakal ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Septmber 2018 ini.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!