99900

Aktres Lubnan Nadine Nassib Cedera Dalam Letupan Beirut, Jalani Pembedahan 6 Jam - Suria FM - Segalanya Hiburan

PELAKON Lubnan iaitu Nadine Nassib Njeim, 36, mendedahkan bahawa dia turut tercedera akibat letupan besar yang berlaku di Beirut pada Selasa.

Menerusi perkongsian di Instagram pada Rabu, Nadine berkata separuh muka dan badannya dilumuri darah.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana masih terselamat dan berkata apa yang dilihat netizen tidak menggambarkan situasi sebenar lokasi letupan.

“Separuh muka dan badan saya berlumuran darah.

“Saya bersyukur kepada Tuhan yang menyelamatkan nyawa saya. Letupan sudah dekat dan apa yang anda lihat tidak seperti yang kami hadapi di sini. Sekiranya anda datang ke rumah saya dan melihat darah di merata tempat, anda akan terkejut bagaimana kami masih hidup,” tulisnya.

Video berdurasi 20 saat yang dikongsikan Nadine memperlihatkan kerosakan di pangsapuri kediamannya yang terletak berhampiran kawasan pelabuhan tempat letupan berlaku.

Dalam pada itu, Nadine berkata setelah letupan berlaku, dia terpaksa turun daripada tingkat 22 pangsapurinya tanpa memakai kasut dan meminta seorang lelaki menghantarnya ke hospital menaiki kereta.

“Dia menurunkan saya di hospital berdekatan, tetapi mereka enggan merawat saya kerana hospital itu sudah dipenuhi dengan orang-orang yang turut tercedera.

“Dia menurunkan saya di hospital lain di mana mereka segera membawa saya menjalani pembedahan selama enam jam,” katanya

Letupan yang berlaku di Beirut meragut nyawa sekurang-kurangnya 135 orang dan mencederakan lebih 5,000 orang.

Tambah Nadine, dua anaknya tidak berada di rumah semasa letupan dan berada dalam keadaan selamat.

Untuk rekod, karier Nadine bermula setelah dia dinobatkan sebagai Miss Lebanon pada tahun 2004.

Kredit gambar dan artikel mStar

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!