87296

‘Aku Malu’ Kata Aqeesh Aleeya - Suria FM - Segalanya Hiburan

Juara Bakat Ohsem Malaysia (BOM) 2017 anjuran hurr.tv, Aqeesh Aleeya tampil dengan single pertama berunsurkan pop dance berjudul ‘Aku Malu’ yang dicipta oleh komposer DJ Fuzz dengan lirik oleh Hez Hazmi. Anak jati Selangor berusia 14 tahun yang bergelar Aqeesh atau nama sebenarnya Nur Balqis Aleeya Shahrom adalah juara bagi pertandingan bakat dalam talian anjuran hurr.tv iaitu Bakat Ohsem Malaysia (BOM) yang berlangsung pada 23 Disember 2017.

Selaku juara beliau membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM100,000 dan sebuah Proton Saga 1.3 (A) tajaan MyMotor. Melihat kepada bakat semulajadinya yang mampu menari, bermain gitar dan yakin di hadapan kamera serta minatnya kepada muzik balada, pop dan dance, keluarganya telah membuat keputusan untuk mengembangkan lagi pengetahuannya di bidang seni di Sekolah Seni Kuala Lumpur pada tahun 2017- 2018. Kini, setelah berada di bawah naungan hurr.tv, beliau sekarang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sri Damansara 2.

Yang pasti, pada usianya yang muda Aqeesh telah merekodkan banyak kejayaan yang membanggakan. Pada usia sembilan tahun, beliau telah menjuarai pertandingan ‘Bintang Kecil RTM 2013’ peringkat negeri Selangor sekaligus melayakkan beliau menyertai pertandingan akhir ‘Bintang Kecil Kebangsaan RTM 2013’. Dalam edisi pertandingan berkenaan, Aqeesh dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Semenanjung. Istilah putus asa nyata tiada dalam kamus hidupnya.

Pada tahun berikutnya, Aqeesh sekali lagi berjaya melayakkan dirinya menyertai pertandingan ‘Bintang Kecil Kebangsaan RTM 2014’ dan beliau telah diumumkan sebagai Peserta Terbaik Semenanjung juga dinobatkan sebagai naib juara keseluruhan. Pada tahun 2015, Aqeesh disenaraikan antara 3 pemenang utama bagi pertandingan bakat P&G sekaligus memberinya peluang untuk bertemu secara langsung juri ‘Asia Got Talent’, Anggun serta membuat persembahan di hadapannya.

Kerjasama dengan DJ Fuzz dan Hez Hazmi bermula sejak Februari 2018. DJ Fuzz seperti yang dikenali ramai adalah seorang komposer yang telah menyumbangkan khidmatnya bagi beberapa penyanyi terkenal antaranya Mizz Nina, Awi Rafael, Altimet dan Saleem Iklim. Manakala Hez Hazmi pula dikenali sebagai penulis lirik antaranya bagi lagu So Fine nyanyian Mark Adam dan Cinta Luar Biasa nyanyian Azren Albakri.

Pembikinan lagu ‘Aku Malu’ dilakukan pada 29 Mac 2018 dan secara amnya menggambarkan situasi di mana seorang gadis/jejaka yang jatuh cinta dalam diam kepada seseorang yang diminati. Perasaan suka terhadap individu itu pula semakin lama semakin menebal. Walaupun begitu, gadis/jejaka berkenaan tidak berani untuk meluahkan perasaan sebenar kepada individu yang diminati.

Menurut Pengarah Saluran hurr.tv, Datin Elaine Daly, “Lagu ‘Aku Malu’ ini adalah satu karya yang saya pasti akan menarik perhatian pendengar dengan irama pop dance yang ditampilkan. Konsep lagu ini juga amat sesuai dengan karakter Aqeesh yang sememangnya lincah dan bertenaga. Kami juga amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan komposer serta penulis lirik berbakat DJ Fuzz dan Hez Hazmi. Dalam masa sama, kami sedang merangka beberapa jelajah bagi memperkenalkan lagu ‘Aku Malu’ kepada orang ramai.”

Video lirik lagu ‘Aku Malu’ secara eksklusif dipertontonkan kepada media dalam sebuah majlis di Petaling Jaya pada 4 Jun 2018 sebelum disiarkan di laman web dan YouTube hurr.tv. Manakala, video muzik bagi lagu ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat di mana Aqeesh akan digandingkan bersama naib juara Bakat Ohsem Malaysia, Nasty Rock Crew. Penonton juga boleh melihat di sebalik tabir pembikinan lagu ‘Aku Malu’ di program khas berjudul ‘Aqeesh’ yang telah bersiaran bermula 25 Mei hingga 15 Jun 2018 pada jam 9.30 malam di laman web dan saluran YouTube hurr.tv.

Majlis pelancaran single Aqeesh Aleeya dan buka puasa hurr.tv turut menyaksikan acara ‘lucky draw’ dengan hadiah-hadiah menarik yang disediakan oleh pihak penganjur serta penaja-penaja termasuk muca, SMC Dentalworks, Innowhite Malaysia, Ombak Kitchen dan TGV Cinemas.

Lagu ‘Aku Malu’ boleh didapati di platform digital seperti iTunes, Spotify dan Joox dalam masa terdekat. Ikuti Aqeesh di laman media sosial Instagram @aqeeshaleeya dan Facebook www.facebook.com/aqeesh.aleeya.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!