85175

Amarah Wanita Diduga dalam Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak - Suria FM - Segalanya Hiburan

marlina1

Marlina Si Pembunuh Dalam Empat Babak bukan filem Indonesia yang biasa-biasa. Dari jalan cerita hingga ke lokasi dan dialek, ia tampil berbeza daripada cerita cinta, aksi atau seram berlatarbelakangkan kota-kota terkenal seperti Jakarta atau Bandung.

Marlina adalah filem ketiga arahan pengarah Mouly Surya selepas ‘Fiksi’ (2008) dan ‘What They Don’t Talk About When They Talk About Love’ (2013). Cerita asalnya adalah garapan pengarah Indonesia tersohor, Garin Nugroho, dan diolah menjadi skrip oleh Rama Adi dan Mouly sendiri.

Kisah Marlina bermula apabila Markus ke rumahnya satu petang dan memberitahunya dalam masa 30 minit, semua wang dan ternakannya akan dicuri dan dia akan dirogol oleh Markus dan konco-konconya.

marlina4

Walaupun Marlina tangkas dan bijak menumpaskan para penceroboh rumahnya selepas itu, kisahnya tidak berakhir manis di situ. Penonton dibawa ke babak kedua iaitu perjalanan dari rumahnya ke balai polis terdekat sambil membawa ‘buah tangan’ daripada penjahat malam sebelumnya.

Jerih dan jarak perjalanannya digambarkan dengan baik oleh pakar sinematografi, Yunus Pasolang. Penonton dikenalkan dengan landskap indah Pulau Sumba yang kering dan berbukit seakan-akan padan dengan kemarahan dan pergolakan perasaan Marlina. Ditemani oleh runut bunyi ala western karya Zeke Khaseli dan Yudhi Arfani memberikan filem ini sedikit sentuhan filem cowboy Barat.

marlina2

Tapi tiada watak sherif lelaki gagah penyelamat keadaan dalam filem ini. Hanya seorang wanita yang cukup marah dan geram serta watak-watak wanita kuat lain yang muncul sepanjang perjalanan filem ini.

Babak-babak seterusnya diisi dialog-dialog sinis menindas wanita yang dituturkan oleh watak-watak lelaki dalam filem ini. Tidak ada yang luar biasa tentang itu, tetapi yang luar biasa adalah semangat mahu terus hidup yang dipamerkan oleh Marlina, dan temannya yang sarat mengandung, Novi. Mereka bangkit untuk memperjuangkan nasib sendiri, dan tidak hanya menyerahkan segalanya kepada takdir.

Terlalu seriuskah bunyinya filem ini kepada anda? Jangan risau, ada saat-saat lucu dan menyentuh hati yang disulam di dalam dialog-dialog dan babak filem ini. Budaya tradisional Sumba juga diperlihatkan sedikit di dalam filem ini, contohnya, mumia mendiang suami Marlina yang dibalut rapi di ruang tamu rumah Marlina menunggu pengebumian.

marlina3

Marlina ditayangkan di lima buah pawagam eksklusif di GSC Mid Valley Mega Mall, Pavillion Kuala Lumpur, 1Utama Shopping Center, Gurney Plaza, dan Paradigm Mall Johor Bahru daripada 8 Mac hingga 21 Mac 2018. Cepat saksikannya. Suria sangat mengesyorkan pembaca menonton filem ini di layar lebar. Sayang kalau filem sehebat dan secantik ini cuma ditonton di layar sebesar 13 atau 40 inci.

 

sumbangan : Ili Farhana Mohamed

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!