89457

Amylea dan Kaer Buktikan ‘Comeback’ Mereka Bukan ‘Main-main’ - Suria FM - Segalanya Hiburan

Penangan drama bersiri ‘Nur’ menjadi satu fenomena hebat di Malaysia. Jutaan penonton mengikuti kisah yang dipaparkan dalam drama lakonan hebat Syafiq Kyle dan Amyra Rosli itu. Malah runut bunyi asal siri drama tersebut turut sama menjadi popular gara-gara populariti drama itu sendiri.

Ini terbukti kala lagu tema drama tersebut yang berjudul ‘Tak Pernah Hilang’ menjadi tular dan meraih jutaan peminat setia di seluruh Malaysia serta Singapura dan Brunei. Lagu ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Amylea Azizan itu juga tanpa disangka menjadi lagu ‘berhantu’ yang disukai ramai.

Apatah lagi didendangkan dengan begitu baik oleh bekas bintang-bintang Akademi Fantasia, Kaer dan Amylea yang juga menjadi sebab utama kejayaan lagu tersebut.

Setelah klip videonya menerima jutaan tontonan di laman Youtube, kedua-dua penyanyi lagu itu sempat mengadakan sebuah persembahan khas buat peminat mereka berdua di Hard Rock Cafe pada 26 Ogos lalu. Dengan menggunakan nama ‘Amylea X Kaer Chapter Three Showcase’, Kaer dan Amylea berjaya membuktikan yang mereka memang ingin kembali mewarnai industri muzik berbekalkan bakat mereka yang satu ketika dahulu pernah mencuri perhatian ramai peminat muzik tempatan.

Ternyata, gandingan duet Kaer serta Amylea benar-benar menjadi lewat lagu ‘Tak Pernah Hilang’ ini. Malah lagu ini menjadi lagu ‘comeback’ buat Amylea dan Kaer yang telah agak lama menyepi daripada industri seni suara.  Namun persembahan mereka di Hard Rock Cafe tempoh hari, bukan sahaja tempat untuk peminat lagu tersebut, tetapi juga pengikut setia mereka sejak mula melangkah masuk ke dalam arena seni suara.

Persembahan petang Ahad itu menyaksikan Kaer mengembalikan nostalgia para peminatnya dengan menyanyikan lagu-lagu yang pernah dia dendangkan sewaktu menyertai Akademi Fantasia dulu. Ini termasuklah lagu Januari nyanyian asal Glenn Fredly, serta lagu hit Izinku Pergi yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu serta Anugerah Industri Muzik sedekad yang lalu. Kaer juga sempat mendendangkan beberapa lagu kegemarannya yang memang sinonim dengan imejnya yang cenderung kepada irama R&B dan pop balada yang lebih moden.

Tidak ketinggalan Amylea yang sememangnya dikenali dengan vokal uniknya serta rantaian lagu-lagu tema yang pernah dia cipta dan nyanyikan untuk beberapa siri drama popular TV satu ketika dahulu. Ratusan peminat dilihat menyanyi bersama lagu popularnya seperti Aku Sindarela, Seperti Dia dan semestinya Ku Berserah.

Acara turut disertakan dengan persembahan bintang undangan Amir Hassan dan Indah Ruhaila, sebelum diakhiri dengan beberapa lagu duet popular nyanyian Kaer dan Amylea.

Persembahan petang itu ditutup dengan lagu ‘Tak Pernah Hilang’ yang dinanti-nantikan oleh peminat yang hadir.

Apa yang pasti, persembahan petang itu membuktikan bahawa ‘comeback’ Amylea dan Kaer ke dalam bidang nyanyian bukanlah sekadar ‘main-main’ tetapi sesuatu yang memang serius dan nampaknya bakal membuahkan lebih banyak duet daripada mereka berdua. Syabas buat Amylea dan Kaer dan semoga terus menghasilkan lebih banyak lagu yang meletup!

Kami di Suria berbangga kerana diberi penghormatan menjadi radio rasmi untuk ‘showcase’ Amylea X Kaer Chapter Three di Hard Rock Cafe. Terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan acara ini.

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!