
/wp-content/uploads/2018/04/2018-04-30_15.02.53.jpg)
Sabtu lalu telah berlangsung konsert Bunga Citra Lestari (BCL), Yuka Kharisma dan Anuar Zain Live In Konsert di dewan Plenary KLCC.
Konsert ini pertama kali menggabungkan tiga bintang ini di atas satu pentas yang sama. Lebih manis apabila ini merupakan konsert yang pertama buat BCL di Malaysia selepas lebih 10 tahun bergelar artis.
Dewan pada malam itu penuh dengan penonton yang nyata teruja untuk melihat persembahan dari ketiga-tiga bintang ini.
Konsert dimulakan dengan persembahan dari BCL yang mendendangkan lagu hits pertama beliau di Malaysia iaitu Ingkar. 11 lagu didendangkan oleh BCL termasuklah lagu duet popularnya Aku Dan Dirimu yang didendangkan bersama pendatang baru dari Malaysia iaitu Daniesh Suffian.
Vokal BCL begitu bertenaga dan jelas mengalunkan setiap bait-bait lagunya. Kehadiran penari-penari yang dibawakan khas dari Indonesia mengiringi persembahan BCL sungguh menghiburkan. Koreografi yang begitu sekata membuatkan mata asyik tertumpu kepada mereka.
BCL juga turut menyanyikan lagu dari idolanya iaitu Datuk Sheila Majid yang berjudul Legenda. Jujur, BCL berjaya membawakan lagu ini dengan begitu baik sekali. Persembahan BCL pada malam itu diakhiri dengan lagu Wanita Terbahagia yang diberi sentuhan tradisional yang benar-benar menghiburkan.
Pentas beralih tangan kepada penyanyi berbakat besar yang berasal dari Indonesia iaitu Yuka Kharisma. Nama Yuka Kharisma mungkin tidak sebesar dua lagi rakan pentasnya. Namun persembahan Yuka pada malam itu telah membuka mata siapa pemilik suara emas ini. Biarpun lagu-lagunya mungkin tidak biasa di dengar oleh peminat di sini, namun vokal serta teknik nyanyiannya telah memukau seluruh penonton di dalam dewan. Yuka turut menyanyikan lagu Jampi dengan gayanya yang tersendiri sehingga membuat seluruh dewan gemuruh dengan tepukan dan sorakan.
Anuar Zain menjadi penyanyi terakhir yang muncul di atas pentas. Kemunculan Anuar memang dinanti-nantikan oleh peminat. Muncul sahaja kelibatnya di atas pentas, seluruh dewan berteriak sakan!
Pesona dan aura lelaki ini sememangnya begitu kuat. Penonton nyata tenggelam dalam emosi serta terbuai-buai dek kelunakan vokal Anuar yang masih bisa menjentik hati setiap yang mendengar. Anuar bijak bermain emosi apabila beliau menayangkan muzik video lagu Andainya Takdir serta Cinta Takkan Berakhir di skrin gergasi sambil mengalunkan kedua-dua lagu berkenaan. Anuar melengkapkan persembahannya pada malam itu dengan lagu Lelaki Ini serta Sedetik Lebih.
Saat mengakhiri persembahannya dengan lagu Sedetik Lebih, Anuar telah turun ke kerusi penonton membuatkan ramai peminat seakan histeria.
Persembahan terakhir pada malam itu menggabungkan ketiga-tiga bintang ini beradu suara dalam lagu medley Kau Lah Segalanya dan Belaian Jiwa. Gabungan ketiga-tiga suara ini nyata ‘menjadi’.
Di penghujung konsert, penonton dikejutkan dengan sesi cabutan bertuah di mana 5 penonton yang bertuah telah memenangi sebuah telefon pintar I-Phone 8 dan seorang pemenang utama membawa pulang sebuah skuter.
Kesimpulannya, tidak rugi bagi mereka yang melaburkan Ringgit Malaysia menonton konsert yang berkualiti seperti ini. SURIA pasti penonton pasti pulang dengan perasaan gembira dan berbaloi. Tahniah kepada ketiga-tiga bintang hebat ini.
Anuar Zain, Bunga Citra Lestari And Yuka Kharisma – Live In Concert ini dianjurkan oleh DTA Fashion Art Performance Sdn Bhd dengan kerjasama Fatime.