
/wp-content/uploads/2018/02/WhatsApp-Image-2018-02-01-at-12.09.09-PM-2.jpeg)
Gadingan yang barangkali tidak disangka-sangka, namun itulah yang bakal berlaku apabila tiga nama dari dua negara iaitu Anuar Zain, Bunga Citra Lestari (BCL) dan Yuka Kharisma bakal bersatu dalam sebuah konsert.
Konsert yang bakal berlangsung pada 28 April 2018 ini bakal dilangsungkan di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan merupakan kosert yang pertama buat BCL dan Yuka di Malaysia.
Menariknya konsert ini dianjurkan sendiri oleh Yuka dibawah syarikatnya sendiri iaitu Kharisma Entertaiment Sdn Bhd.
“Selain menjadi sebuah platform untuk syarikat saya bergerak sebagai sebuah penganjur acara, konsert kali ini menemukan saya dengan dua nama yang cukup besar di negara masing-masing. Pastinya sebuah kegembiraan dan kesyukuran buat saya apabila mereka bersetuju untuk berada bersama satu pentas dengan saya nanti”, ujar Yuka.
Bagi Anuar Zain pula, peluang dapat beraksi dalam sebuah konsert bersama BCL dan Yuka adalah sesuatu yang berbeza dalam kerjaya seninya.
“Saya bersetuju untuk melakukan konsert ini kerana pengalaman sebegini yang saya cari iaitu dapat bekerjasama dengan penyanyi dari luar negara. Saya dapat belajar sesuatu yang baru dari kawan-kawan.
Disini kita membuat persembahan dengan cara yang berbeza, kalau penyanyi dari Indonesia caranya berbeza. Kalau kita tengok dari segi artikulasi mereka kala berbicara dengan peminat, ia sungguh berbeza. Daripada situ kita boleh ambil sesuatu tentang cara mereka berinteraksi atau melayani peminat”, jelas Anuar.
Berbeza pula buat BCL apabila konsert ini bakal menjadi konsert sulungnya di Malaysia selepas lebih dari 10 tahun mencipta nama sebagai penyanyi.
Ditanya kenapa beliau mengambil masa yang begitu lama untuk membuat sebuah konsert di Malaysia, kata isteri Ashraf Sinclair ini, beliau memerlukan waktu untuk benar-benar yakin bisa melakukan sebuah konsert berskala besar.
“Mungkin saya perlu kekuatan untuk melakukan konsert di Indonesia terlebih dahulu. Sejujurnya selepas membuat konsert di Indonesia, saya mempunyai keyakinan yang lebih tinggi tentang siapa saya sebagai seorang penyanyi.
Ada banyak peristiwa yang berlaku di dalam karier saya antaranya kehilangan (meninggal dunia) penerbit lagu dan album saya dan saya sempat bingung untuk melangsungkan karier saya sebagai penyanyi.
Makanya waktu itu, saya ambil cuti dari bidang nyanyian dan fokus kepada bidang lakonan. Dan akhirnya saya menemui kembali keyakinan saya, dan membuat lagu baru dengan mencuba genre yang lebih urban”, jelasnya.
Kepada para peminat yang tidak sabar menantikan konsert yang menggabungkan tiga nama ini, tiket-tiket dijual dengan harga RM2199 (Intimate), RM1599 (platinum), RM588 (diamond), RM488 (gold), RM388 (silver), RM288 (bronze) dan RM188 (regular).
Menariknya pembeli tiket bakal berpeluang memenangi cabutan bertuah dan bakal memenangi Iphone 8 dan juga sebuah skuter. Untuk pembeli tiket Intimate pula bakal menerima jemputan ke pra parti, barangan konsert, peluang bergambar bersama artis serta laluan VIP. Manakala pembeli tiket platinum akan menerima jemputan ke pra parti, barangan konsert dan laluan VIP.
Tiket konsert dijual mulai 31 Januari 2018 di www.yuka.com.my atau www.tickethotline.com.my. Tiket juga turut dijual di kaunter Dewan Plenari, KLCC pada 28 April nanti.