71715

Astro Buka Saluran Khas ‘Raya HD’ Sepanjang Bulan Syawal - Suria FM - Segalanya Hiburan

majlis-tayangan-perdana-program-raya-astro-2017

Menyedari kepentingan menerapkan budaya saling bermaaf-maafan dan melakukan sesuatu perkara dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan sebarang balasan, Astro memanfaatkan keterujaan menyambut bulan mulia ini dengan mengangkat tema ‘Dari Hati’ bagi menggerakkan ‘Kempen Kosong-Kosong’ untuk sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Himpunan lebih 260 pengisian istimewa raya termasuk 131 buah program baru telah diselaraskan merangkumi kandungan eksklusif di ruang digital, televisyen, radio dan acara lapangan bagi menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri kali ini.

Bergerak seiring dengan perkembangan trend digital secara global, variasi himpunan kandungan istimewa raya yang disajikan turut boleh diakses menerusi platform digital dan perkhidmatan kandungan over-the-top atau ‘OTT’ termasuklah aplikasi Astro GO, NJOI Now, On demand serta banyak lagi bagi memberi pilihan yang fleksibel kepada para pelanggan.

Tampil dengan kelainan baharu untuk sambutan hari lebaran tahun ini, Astro dengan berbesar hati membawakan sebuah saluran khas RAYA HD (122) yang boleh dinikmati secara percuma selama sebulan oleh semua pelanggan Astro dan NJOI bermula 24 Jun hingga 24 Julai 2017.

Saluran khas RAYA HD bakal menyajikan seleksi program raya terbaik yang disusun berselang-seli tanpa henti merangkumi pelbagai genre berbeza termasuklah program hiburan dan muzikal, barisan drama dan telefilem terhebat yang menampilkan nama-nama popular tanah air, program berunsur lawak dan komedi, koleksi filem-filem terlaris tempatan dan antarabangsa dari era kegemilangan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sehinggalah yang terkini selain filem-filem Bollywood, dan Hollywood.

Meneruskan kesinambungan tradisi saban tahun, Astro turut mempersembahkan secara eksklusif sebuah iklan komersial televisyen bersempena dengan hari raya yang memaparkan kisah benar Adli, seorang bapa yang dikurniakan anak istimewa autisme bernama Luqman. Iklan ini mengupas tentang kecekalan dan pengorbanan beliau untuk membesarkan amanah yang diberi. Demi kasih beliau kepada Luqman, Adli menubuhkan sebuah ‘Cafe Autism’ yang turut memberi sinar baru kepada ibu bapa yang mempunyai anak autistik untuk mendapatkan latihan vokasional di situ. Uniknya lagi, iklan komersial ini turut menampilkan Adli dan Luqman sendiri yang melakonkan semula kisah mereka dengan menggunakan laras bahasa sendiri.

Dato’ Khairul Anwar Salleh turut mengulas, “Sewaktu Kempen Kosong-Kosong Dari Hati mula dilancarkan pada awal Ramadan lalu, kami telah menerima banyak komen dan bingkisan peribadi yang dihantar oleh rakyat Malaysia ke pelbagai laman sosial termasuklah laman sesawang rasmi Astro. Lebih bermakna lagi, pihak Astro sendiri turut turun padang untuk membuat tinjauan dan menemubual orang ramai, barisan selebriti, keluarga terdekat dan sahabat handai untuk mendapatkan pengertian ‘Dari Hati’ daripada perspektif yang berbeza.

Pelbagai kisah-kisah menarik telah diterima dan kami merasakan ada di antara perkongsian tersebut mempunyai intipati yang cukup menyentuh hati serta bersesuaian dengan tema ’Dari Hati’ untuk diterjemahkan dalam bentuk iklan komersial sempena Syawal ini.

Pada tahun ini, kami terbitkan iklan lakonan semula yang digarap berdasarkan kisah hidup Adli dan anaknya Luqman yang sarat dengan mesej bermakna untuk memberi kesedaran dan membuka minda masyarakat agar lebih peka dan prihatin sekaligus menepis persepsi kurang tepat mengenai autisme. Kami berharap iklan ini dapat memberi inspirasi kepada para penonton agar melakukan sesuatu dengan penuh ikhlas sekaligus mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan sempena bulan yang mulia ini.”

Kandungan premium menerusi Astro First tidak ketinggalan membariskan program-program menarik untuk dilanggan iaitu Memori Pajeri Nenas, Syurga Yang Tak Dirindukan 2 dan Dangal. Manakala Astro Best pula turut menawarkan tiga buah program hebat iaitu Beauty & The Beast, The Baby Boss dan Logan.

Menerusi kempen pada tahun ini, pelbagai program menarik telahpun disusun menerusi kesemua rangkaian saluran Astro. Antara koleksi filem terlaris yang bakal menghiburkan para penonton termasuklah Munafik, Kabali, Secret Life Of Pets, Langit Cinta, Diwali, Bajirao Mastani dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, para penonton juga bakal dihidangkan dengan sajian program muzikal seperti Gegar Vaganza Kirim Salam Raya, Dia Semanis Honey Muzikal, Duo Star Lagenda Raya, Tak Balik Raya Tak Rock, Karokgram dan sebagainya.

Bagi peminat program berbentuk drama dan telefilem Melayu, nantikan barisan rancangan terhebat yang menampilkan pelakon popular tanah air seperti Menantu Malam Raya, Lambor Kanan Belakang Dewan, Jodoh Ayam Tergolek, Selamat Tinggal Aidilfitri dan banyak lagi. Lebih mengujakan, episod akhir drama adaptasi novel, Hero Seorang Cinderella yang kini merupakan drama Melayu nombor 1 di saluran Astro akan turut disiarkan pada minggu pertama Aidilfitri kelak.

Astro juga akan membawakan kembali barisan drama popular bersama hero dan heroin kegemaran ramai dalam bentuk telefilem istimewa khas sempena Raya seperti Suri Hati Mr Pilot Raya, Famili Tuan Ihsan, Abang Bomba I Love You Raya, Sayang Papa Saya Tak Raya serta banyak lagi.

Bagi memberi lebih pilihan kepada para penonton, barisan program bercorak gaya hidup atau hiburan untuk tontonan sesi keluarga juga akan dihidangkan seperti Romantika Raya, Hero Princess Aaisyah, Abang Hot Beraya, Parodi Raya Dulu Raya Sekarang serta banyak lagi.

Manakala barisan program lawak dan komedi yang menggelikan hati juga telah disusun termasuklah MLM Raya 2017, Konsert Komedi Raya, Sepahtu Reunion Raya, Jozan Raya Sampai Pengsan dan sebagainya.* Sila rujuk buku program untuk maklumat lanjut senarai program televisyen sempena Raya

Dato’ Khairul turut menambah, “Seiring dengan usaha Astro untuk menguasai pasaran kandungan di rantau Nusantara, semangat Syawal turut disemarakkan dengan penghasilan sebuah lagu raya baharu yang dilancarkan serentak dengan video muzik berjudul ‘Raya Nusantara’ untuk dijadikan peneman halwa telinga di musim perayaan. Tambah istimewa, barisan penyanyi berbakat besar dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura bergabung suara untuk merakamkan lagu raya istimewa ini bagi memberikan sentuhan berbeza untuk menambahkan keceriaan sambutan lebaran tahun ini.”

Lagu ‘Raya Nusantara’ ciptaan komposer terkenal Omar K ini bakal didendangkan oleh tujuh penyanyi terkenal di rantau ini iaitu Siti Nordiana, Ismail Izzani, Kashika, Alvin Chong dari Malaysia, Rizky Febian dan Fatin Shiqdia dari Indonesia serta Sufi Rashid dari Singapura. Manakala video muzik arahan pengarah Ghaz Abu Bakar juga dijangka bakal menampilkan kelainan yang tersendiri kepada para pelanggan.

Astro Shaw yang cukup sinonim dengan penerbitan filem-filem Melayu juga tidak ketinggalan bersama-sama meraikan kedatangan Aidilfitri dengan menayangkan filem-filem terbaharu di pawagam-pawagam di seluruh Malaysia. Antaranya termasuklah Kau Yang Satu, Abang Long Fadil 2, Tombiruo, Bisik Pada Langit dan Busker.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!