84829

ASWARA Bakal Pentaskan Teater 'Tanah Akhirku' - Suria FM - Segalanya Hiburan

dsc_1853

Berita baik buat peminat teater tanahair. Fakulti Teater ASWARA dengan bangganya akan mementaskan sebuah teater yang bertajuk Tanah Akhirku karya Xavier Fong dan Siti Jasmina Ibrahim. Teater yang diarahkan oleh Ashraf Zainal ini akan menemui penonton pada 26 – 27 Januari 2018 di Panggung Eksperimen ASWARA pada jam 8.30 malam. Antara pelakon yang terlibat adalah Mei Fen Lim, Anwar Rusdini, Aim Zackry, Andy Poon dan Ngui Jia Yang.

Mei Fen yang merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Teater akan dinilai melalui pementasan ini dalam satu persembahan berasingan pada 24 Januari 2017 dari aspek lakonan. Walaupun dinilai dari segi lakonan, beliau juga bertanggungjawab sebagai pengolah cerita asal. Beliau begitu komited memastikan cerita tentang penghijrahan awal masyarakat Tiong Hua ke Tanah Melayu dipaparkan dengan teliti melalui naskhah ini.

Tanah Akhirku mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis yang berasal dari tanah besar China ke Tanah Melayu bernama Yue Feng. Yue Feng lari daripada perang saudara dan pecah belah di China bersama adiknya ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan baharu. Mereka kemudian bekerja di lombong bijih timah yang dikuasai oleh kumpulan kongsi gelap. Dengan ketidak stabilan politik dan pentadbiran pada ketika itu antara pembesar istana, pihak British dan juga pengusaha lombong, tidak ada langkah mudah untuk meneruskan hidup bagi pekerja-pekerja lombong di situ. Yue Feng pula semakin jatuh hati dengan Tanah Melayu yang sudah dianggap sebagai tanah airnya sendiri. Cintanya juga turut mekar terhadap seorang lelaki Melayu.

dsc_1880

Tanah Akhirku adalah sebuah naskhah yang mengajak penonton untuk melihat pembentukan negara Malaysia melalui perspektif yang berbeza. Kaum Cina yang telah datang berhijrah ke Tanah Melayu pada era penjajahan British turut memainkan peranan besar dalam pembentukan masyarakat Malaysia yang majmuk seperti yang ada seperti masa kini. Kita tidak dapat menafikan sumbangan para imigran Cina dan India yang datang untuk memajukan Tanah Melayu dari segi ekonomi dan juga budaya.

Mei Fen berkata, beliau mendapat idea untuk pementasan cerita ini selepas menghabiskan masa belajar di ASWARA. Persekitaran majmuk di kampus ini memberikan Mei Fen pengalaman sebenar masyarakat Malaysia yang dia idamkan. Di ASWARA, kepelbagaian budaya diraikan dan setiap pelajar mempunyai peluang untuk memahami budaya asing tanpa perlu meninggalkan akar budaya masing-masing.

img_2826

Pementasan yang sepatutnya diadakan sekali sahaja untuk tujuan penilaian akhirnya ditambah bilangannya berikutan permintaan ramai pihak pada 26 dan 27 Januari. Dekan Fakulti Teater bersetuju untuk menambah bilang persembahan supaya naskhah yang baik ini dapat ditonton oleh masyarakat di luar sana.

Tanah Akhirku akan dipersembahkan di dalam bahasa Melayu, Cina dan Inggeris dengan sarikata bahasa. Tempahan tiket boleh dibuat dengan menghubungi Bahirah di talian 01129044245.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!