95875

Bakal Suami Hadiahkan Elly Mazlein Sebuah Pangsapuri - Suria FM - Segalanya Hiburan

Penyanyi, pelakon dan pengacara sensasi, Elly Mazlein telah selamat menjadi tunangan orang pada sebuah majlis yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Selasa, 17 Disember 2019.

Elly, 39, telah memilih seorang jejaka yang merupakan seorang guru iaitu Mohamad Azlan, 29 tahun yang berasal dari Kelantan.
Namun kelibat tunangnya itu tidak kelihatan pada majlis pertunangan yang berlangsung dengan meriah dan hanya akan didedahkan pada umum pada majlis berinai yang akan berlangsung kelak.
“Tunang saya dia sangat pemalu orangnya kerana dia bukanlah orang di dalam Industri yang sama dengan saya. Tetapi malam berinai nanti dia akan Ada bersama saya”, jelas Elly ketika ditemui pada sesi sidang media.
Berbicara mengenai pilihan hatinya yang jauh lebih muda itu, kata Elly dia sangat tersentuh apabila melihat keakraban Azlan bersama dengan bapa dan anaknya Sephia.
“Ayah saya sangat menyanyangi Azlan. Begitu juga dengan anak saya. Mereka sangat rapat. Kalau saya sibuk dengan kerja, selepas Azlan habis kerja dia akan datang ke rumah membawa Sephia ke taman permainan.
Sebenarnya dalam hidup ini saya hanya inginkan kebahagiaan serta rasa dihargai. Saya nampak Azlan seorang yang sangat bertanggungjawab.
Baru-baru ini saya tak sangka Azlan telah membeli sebuah pangsapuri untuk saya. Saya tidak kisah rumah jenis apa pun yang dibelikan, yang penting usaha Azlan sebagai bakal suami itu sangat saya hargai”, kongsinya.
Selain membelikan rumah pangsapuri, Elly juga sangat menghargai usaha tunangnya itu yang turut memberikan wang kepadanya untuk membeli barang hantaran.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana ditemukan dengan Azlan. Tiada apa yang saya harapkan kecuali kebahagiaan. Jujur saya cakap selama setahun saya kenal Azlan, dia tak pernah peningkan kepala saya”, ujarnya.
Elly dan Azlan memilih untuk mengikat tali pertunangan selama sebulan sahaja dan akan diijabkabulkan pada 17 Januari 2020.
Tahniah Suria ucapkan kepada Elly Mazlein dan Azlan. Semoga urusan perkahwinan kalian dipermudahkan.
Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!