89286

Bekas Juara AF Amir Masdi Tampil Dengan ‘Puas’ - Suria FM - Segalanya Hiburan

Bekas juara Akademi Fantasia (AF) 2016, Amir Syazwan Masdi atau lebih dikenali sebagai Amir Masdi baru-baru ini melancarkan single terbaru beliau berjudul ‘Puas’ di Red Box, The Gardens Mid Valley. Single terbitan Nova Music (M) Sdn. Bhd ini merupakan karya ciptaan penuh Ayden Ali bersama Ikhwan Fatanna yang menceritakan kisah patah hati sepasang kekasih. ‘Puas’ turut mendapat sentuhan muzik gubahan komposer terkenal Omar K yang juga bertindak sebagai penerbit rakaman.

Single yang berkonsepkan balada pop ini merupakan pertaruhan ke-3 Amir selepas tampil dengan single terdahulu, ‘Pemilik Cinta’ (2016) dan ‘Waktu’ (2017). Kedua-dua single tersebut mendapat sambutan baik pendengar dan berjaya menembusi carta stesen radio #1 negara, carta era 40. ‘Pemilik Cinta’ dan ‘Waktu’ masing-masing berjaya menembusi Top 40 dan Top 15 carta tersebut.

Lebih setahun sepi tanpa karya terbaru, Amir Masdi berkata bahawa dia mengambil masa yang lama untuk memilih lagu yang sesuai,“Saya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan lagu. Saya percaya keserasian antara lagu dan penyanyi, sebab itu saya ambil masa untuk meneliti dan memilih lagu yang benar-benar sesuai dengan ciri vokal saya. Tetapi bila sudah jumpa lagu yang saya suka, tanpa berlengah lagi saya terus masuk studio rakaman. Lagu ‘Puas’ ini saya terima pada bulan Ramadhan yang lalu dan selesai rakaman sebelum raya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, video muzik pun sudah selesai penggambaran”.

Menurut Rosmin Hashim, Pengarah Urusan Nova Music (M) Sdn. Bhd., “Amir berjaya menjiwai lagu ‘Puas’ dengan cukup baik dan saya berani menyatakan bahawa single terbaru ini adalah single terbaik daripada Amir Masdi sepanjang kerjayanya dalam industri muzik tempatan. Sempena pelancaran single terbaru ini, pihak kami bersama Amir telah menganjurkan promosi IG untuk mengajak peminat berkongsi kisah patah hati mereka. Sejumlah 3 pemenang dengan kisah patah hati terbaik telah mendapat peluang khas untuk mengabadikan kisah patah hati mereka dalam rakaman video mereka sendiri yang dimuat naik ke saluran YouTube Nova Music Videos’.

Amir Masdi yang gementar menanti penerimaan pendengar muzik tempatan berharap single ‘Puas’ ini mendapat sambutan yang lebih baik daripada lagu-lagu nyanyiannya terdahulu. “Dua single saya yang terdahulu membantu menempatkan nama saya dalam industri muzik tempatan. Saya akan membina di atas tapak ini untuk mengukuhkan lagi kedudukan saya dalam industri. Apa yang penting, saya harus terus berikan karya yang terbaik kepada pendengar. Harapnya pertaruhan saya kali ini dapat mencuri perhatian pendengar muzik tanahair,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif di Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.

Single ‘Puas’ kini boleh didengari di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Joox, Apple Music, iTunes, Deezer dan juga KKBox. Video muzik rasmi ‘Puas’ juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos mulai hari ini jam 3 petang dipautan ini https://youtu.be/23ZiUazsB5E

Lagu Puas ini hanya boleh dinyanyikan oleh semua pengunjung di semua cawangan Red Box, Green Box dan Red Box PLUS bermula 20 Ogos 2018.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!