90420

Bisnes Merudum, DSV Mahu Aishah Mohon Maaf - Suria FM - Segalanya Hiburan

Jutawan kosmetik terkenal Dato Seri Vida (DSV) mahu juara Gegarvaganza 4, Aishah memohon maaf kepadanya.

Ini berikutan impak dari kenyataan Aishah mengenai hadiah barang kemas pemberiannya yang dikatakan palsu, bisnes kendaliannya jatuh merudum.

 

Selain itu, DSV juga mahu bersemuka dengan Aishah untuk menyelesaikan masalah ini selain menggesa Aishah untuk memadamkan segala tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan kepadanya di media sosial.

DSV juga akan mempertimbangkan untuk megambil tindakan undang-undang andai penyanyi lagu Janji Manismu itu enggan berbuat demikian.

“Setelah Aishah membuat kenyataan mengenai barang kemas palsu sebulan yang lalu, prestasi perniagaan kedai emas, kosmetik dan restoran saya terus menjunam teruk dan kehilangan pendapatan sebanyak hampir sejuta pada bulan lalu.

Ia benar-benar memberikan impak yang besar pada semua perniagaan saya. Untuk pengetahuan semua, barang kemas yang dijual di DSV Gold & Jewellery adalah asli” jelasnya.

Tambahnya lagi, kenyataan yang dibuat oleh Aishah itu seperti sengaja dikeluarkan untuk menjatuhkan maruahnya sebagai penaja utama Gegarvaganza dari musim pertama hingga keempat.

“Saya amat kecewa dengan tindakan Aishah, sedangkan beliau boleh berjumpa dengan saya dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian tetapi beliau memilih untuk memberi kenyataan dengan mengatakan set barang kemas itu adalah palsu seperti yang telah digembar-gemburkan oleh beliau di media sosial”, ujarnya.

Kata DSV lagi, beliau bersedia untuk penuhi permintaan Aishah yang menuntutnya untuk membuat permohonan maaf andai Aishah juga memohon maaf kepadanya terlebih dahulu.

Sehubungan dengan itu, DSV memberi masa tujuh hari kepada Aishah untuk menunaikan tiga tuntutannya.

Semoga kes ini dapat diselesaikan dengan segera dan kedua-dua mereka dapat menemui jalan damai.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!