87983

‘Brother Of The Year’ Wajib Ditonton Oleh Adik Beradik Yang Sering Bergaduh - Suria FM - Segalanya Hiburan

Selepas menempa kejayaan di Thailand dan beberapa negara lain, filem popular Thailand ‘Brother of The Year’ akhirnya menemui penonton-penonton di Malaysia.

Filem ini dibintangi oleh pelakon-pelakon popular Thailand seperti Sunny Suwanmethanont (Sunny), Urassaya Sperbud (Yaya) dan pelakon dan penyanyi popular yang merupakan salah seorang ahli kumpulan K-POP 2PM iaitu Nichkhun.

Filem ini mengisahkan tentang kehidupan dua beradik iaitu Chut (Sunny) dan Jane (Yaya) yang sering tidak sehaluan sejak dari kecil.

Mereka berdua tinggal serumah di rumah yang dibelikan ibu mereka. Sejak kecil Sunny mengimpikan untuk memiliki seorang adik lelaki, tetapi kecewa apabila adik yang dinantinya rupa-rupanya seorang bayi perempuan.

Mereka berdua memiliki perwatakan berbeza. Chut seorang yang lemah dalam mata pelajaran, manakala Jane pula sangat cemerlang dari semua segi sehingga membuatkan dia disayangi ramai orang.

Chut tersangat gembira apabila adiknya menyambung pelajaran selama empat tahun di Jepun. Sekembalinya Jane dari Jepun, dia terkejut melihat abangnya sedang berasmara dengan seorang perempuan tidak dikenali di dalam rumah.

Chut merupakan seorang yang pemalas dan pengotor kerana tidak pernah mengemas rumah dan membiarkan adiknya yang menguruskan segala-galanya di dalam rumah itu.

Konflik mula berlaku apabila Jane mendapat pekerjaan di sebuah syarikat milik Jepun dan Chut yang bekerja di bidang pengiklanan merupakan salah seorang daripada wakil agensi untuk produk syarikat itu.

Jane telah jatuh cinta dengan salah seorang pegawai di syarikat itu iaitu Moji (Nichkhun) yang mempunyai darah kacukan Jepun . Moji telah terdengar perbualan Chut di dalam tandas yang akan menjejaskan hubungan ketiga-tiga mereka.

Apakah yang akan berlaku kepada mereka bertiga? Dapatkan Chut menerima Moji sebagai adik iparnya? Apakah yang akan berlaku kepada kepada Jane dan Chut selepas segalanya terbongkar?

Jangan lupa untuk menonton filem arahan pengarah hebat Vithaya Thongyuyong di pawagam berdekatan.

Kesimpulannya, filem ini tidak rugi untuk ditonton kerana tema yang diangkat sangat berlainan dengan filem-filem yang pernah ditonton di pawagam. Lakonan ketiga-tiga mereka juga sangat cemerlang. Penonton juga akan dibawa arus emosi di mana di permulaan cerita anda pasti ketawa dan geram dengan perangai Chut yang mengjengkelkan, tetapi akan meruntun jiwa di pengakhiran cerita.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!