84818

Busker Menyegarkan Industri Filem Melayu - Suria FM - Segalanya Hiburan

img_3169

Senang rasanya kala industri perfileman tempatan diserikan dengan karya-karya berkualiti.

Biarpun filem-filem Melayu sering juga dipandang ‘sebelah mata’ dan diperlekehkan oleh beberapa pihak, itu tidak bermakna kesemua filem Melayu tidak bagus. Ini jelas terbukti lewat filem terbaru Astro Shaw yang berjudul Busker.

Filem yang mempertaruhkan muka-muka baru sebagai para teraju utamanya ini dijangka mampu memberikan impak dan meninggalkan kesan di kalangan penonton.

img_3165

Dari pandangan kami di Suria, ia berjaya menghiburkan selain mengingatkan kita tentang realiti kehidupan remaja masa kini.

Filem yang bertunjangkan cinta, persahabatan serta muzik ini berkisar kehidupan Adil dan Vera (lakonan hebat Hafeez Mikail dan Daiyan Trisha) yang merupakan mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi. Mereka terpaksa bekerjasama untuk  sebuah projek kelas biarpun kedua-duanya kurang menyukai satu sama lain. Dalam pada itu, Adil yang tidak dapat melupakan bekas kekasihnya Mel selepas ditinggalkan, adalah seorang pemuzik jalanan atau ‘busker’ yang giat membuat persembahan bersama kumpulannya di sekitar Johor Baru.

img_2508

Dalam kesibukan menyiapkan tugasan dan bermain muzik, kehidupan Adil dan Vera mula berubah apabila mereka saling berkongsi cerita dan menjadi semakin rapat. Ini dihangatkan lagi dengan kehadiran teman lelaki ‘poyo’ Vera yang bersikap cemburu dan kurang senang dengan Adil.

Sungguhpun jalan cerita filem ini sebenarnya sangat mudah namun ia telah digarap dengan baik sekali dan lari daripada genre filem-filem Melayu biasa yang sudah sering disogokkan kepada penonton.

img_5754

Kami di Suria memang mengesyorkan filem arahan Syed Khairul Faiz ini untuk semua. Selain menampilkan sinematografi menarik di sekitar bandaraya Johor Baru, ia juga mempertaruhkan runut bunyi yang hebat nukilan Monoloque. Yang pasti Busker juga telah berjaya menyegarkan industri filem Melayu yang kadangkala membosankan.

img_7088

Jadi tunggu apa lagi? Saksikan Busker di pawagam seluruh Malaysia bermula 11 Januari 2018 ini!

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!