72556

Caliph Buskers dan Faizal Tahir Buta di Dalam Lagu Terbaru - Suria FM - Segalanya Hiburan

pic1-caliph-buskes-dari-kiri-rubianafendyazmi-zaki-dan-nirwan

Sebaik sahaja kumpulan Caliph Buskers memilih untuk bekerjasama dengan label Faithful Music milik penyanyi dan juga komposer, Faizal Tahir, pastinya kolaborasi mereka itu amat dinanti-nantikan oleh peminat kedua-duanya. Umum mengetahui akan kekuatan Faizal dalam menghasilkan lagu yang bukan sahaja berkualiti tetapi juga mesra
telinga.
Dan Caliph Buskers pula, selain vokalisnya iaitu Azmi Saat memiliki vokal hebat, dia juga mampu menyentuh hati pendengar dengan nyanyian yang penuh penghayatan. Justeru, apabila dua anak seni bergabung, tidak mustahil dunia muzik tanah air bakal bergegar dengan penangan bakat mereka.

pic2-caliph-busker-2
Tanpa perlu menanti lama, Faizal dan juga Caliph Buskers kini muncul dengan sebuah lagu baharu berjudul Buta, hasil ciptaan Faizal sendiri bersama dengan dua komposer lain iaitu Ezra Kong dan Mike Chan.

Mengaku teruja apabila dapat bekerjasama dengan kumpulan yang dicungkil bakatnya oleh komposer Edry Abdul Halim itu, Faizal berkata kekuatan lagu ini terletak pada melodi, lirik dan juga cara lagu itu disampaikan.
“Kualiti adalah antara faktor utama yang kami fokus ketika menghasilkan lagu ini. Melodinya dibuat dalam tempoh yang agak singkat cuma lirik sahaja yang mengambil masa yang lama iaitu lebih kurang dua minggu untuk dihasilkan kerana kami mahu mencari perkataan yang tepat supaya Azmi selesa untuk menyanyikannya.
Pada awalnya, ketika saya meminta Azmi menyanyikan ini, dia agak keberatan disebabkan judulnya Buta. Dia bimbang akan dikecam dan dianggap tidak sensitif oleh sesetengah pihak kerana menyanyikan lagu itu. Bagaimanapun selepas diyakinkan yang mesej lagu itu berbentuk positif, barulah dia bersetuju. Disebabkan itu dalam lirik lagu ini tidak ada langsung perkataan buta walaupun judulnya Buta,”jelas bekas Naib Juara Anugerah Juara Lagu ke-30 ini.
Mengulas lanjut lirik lagu berkenaan, Faizal berkata dia mahu membuang persepsi negatif masyarakat terhadap perkataan buta itu sendiri.
“Kadang-kadang kita sendiri terkeliru apakah buta itu satu kekurangan atau kelebihan. Bagi saya, mungkin seseorang itu buta matanya tetapi tidak pada hati dan begitulah sebaliknya iaitu boleh melihat tetapi buta hati. Justeru, liriknya lebih kepada menyedarkan bahawa setiap kekurangan itu sebenarnya ada kelebihan yang orang lain mungkin tidak nampak,”ujarnya.

caliph-buskers-ft-faizal-tahir-buta-single-art-cover
Sementara itu, Azmi menyifatkan lagu Buta itu sebagai satu lagu yang mampu memberi motivasi kepada mereka yang senasib dengannya.
“Walaupun pada permulaan saya menolak untuk menyanyikan lagu ini namun selepas menghayati liriknya yang cukup positif, saya akhirnya bersetuju. Bukan sahaja liriknya yang sarat dengan mesej tetapi juga susunan muziknya lebih santai, bersesuaian dengan kami yang juga kumpulan pemuzik jalanan (buskers),”katanya.

Kehadiran Buta ini diharap dapat mengisi ruang kosong lagu bermesej positif dan berkonsep kemanusiaan yang semakin hari semakin terhakis dek kemunculan lagu berunsur cinta yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Paling penting, walaupun liriknya lari dari kebiasan sebuah budaya popular namun nilai komersial tidak langsung diketepikan sama sekali, sekali gus menjadikan Buta sebagai sebuah karya yang sempurna.

Teristimewa buat peminat Caliph Buskers dan Faizal Tahir lagu ‘Buta’ edaran Warner Music (M) Sdn. Bhd ini boleh dimuat turun di semua digital platform seperti Apple Music,iTunes, Spotify, JOOX, Yonder Music, dan KKBox.

Ini pautan untuk ‘Buta’ di platform digital: https://WMM.lnk.to/ButaCBFT

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!