89160

Crazy Rich Asians Memperkukuhkan Status Asia di Hollywood - Suria FM - Segalanya Hiburan

Filem ini telah menjadi bualan ramai lama sebelum ia ditayangkan di pawagam. Diadaptasi daripada sebuah novel nukilan Kevin Kwan, Crazy Rich Asians merupakan sebuah satira yang memberi gambaran tentang kehidupan orang Cina Asia yang kaya-raya dan tinggal di Asia Tenggara.

Lebih membanggakan lagi buat rakyat Malaysia, filem ini diterajui dua orang pelakon Malaysia tersohor iaitu Henry Golding dan juga Dato Michelle Yeoh sebagai pemegang watak utama.

Ia menyingkap kisah seorang wanita bernama Rachel, warganegara Amerika yang berketurunan Cina dan bertugas sebagai seorang pensyarah Ekonomi di sebuah universiti ternama di New York. Rachel mempunyai seorang teman lelaki bernama Nick yang juga seorang pensyarah di universiti yang sama. Nick juga berketurunan Cina namun berasal dari Singapura.

Setelah agak lama bersama sebagai pasangan kekasih, Nick mengajak Rachel untuk menghadiri upacara perkahwinan sepupunya di Singapura, sekaligus bertujuan memperkenalkan Rachel kepada keluarganya.

Rachel menerima pelawaan Nick untuk ke Singapura namun terkejut apabila mendapat tahu sedikit demi sedikit bahawa Nick sebenarnya datang daripada sebuah keluarga yang kaya-raya di Singapura dan mempunyai kehidupan yang jauh berbeza dengan kehidupannya di Amerika.

Sebaik sahaja tiba di Singapura, bermulalah pelbagai adegan lucu dan menarik sepanjang mereka berada di Asia Tenggara. Keadaan menjadi lebih tegang saat Rachel mendapat tahu yang ibu Nick tidak merestui perhubungan mereka berdua.

JIka dinilai secara umum, Crazy Rich Asians bukanlah sekadar sebuah filem di Hollywood, tetapi ia juga merupakan satu platform untuk memperkenalkan lagi dunia Asia kepada penonton di pelosok lain dunia. Selain memperkukuhkan nama rantau Asia di Hollywood, ia juga memberi peluang kepada para pelakon Asia untuk mempromosikan bakat serta kebolehan mereka.

Anda disarankan untuk menonton filem yang sangat menghiburkan ini!

Crazy Rich Asians sudah mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia bermula 22 Ogos ini.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!