
/wp-content/uploads/2017/11/23005540/unnamed.png)
Tiada yang lebih membahagiakan Fazley apabila populariti dikecapi terus merentas tanpa batas dengan kemunculan aplikasi permainan masakan sendiri di atas talian; Chef Fazley Kitchen diperkenalkan sejak penghujung Disember tahun lalu.
Mengambil durasi setahun untuk berhasil, Fazley mula bekerjasama dengan sebuah syarikat tempatan setelah melihat sendiri cef antarabangsa, Gordon Ramsay yang memunculkan aplikasi masakan pertama seumpamanya di dunia.
“Pada waktu sama, saya belum lihat lagi ada cef dari Asia yang ada aplikasi sama sambil menyifatkan ini adalah peluang terbaik untuk saya dalam meluaskan lagi jenama Fazley Yaakob ke satu tahap lain.
“Alhamdulillah, angan-angan saya dapat dipenuhi. Saya dimaklumkan bahawa hari pertama ia dilancarkan, saya menerima ribuan muat turun daripada peminat yang teruja untuk turut serta dalam permainan masakan ini,” terangnya dalam perasaan penuh keterujaan.
Berbicara tentang aplikasi masakan itu, Fazley tetap mengekalkan konsep menu Rembau ke Paris bagi memperkenalkan hidangan Negeri Sembilan di mata dunia agar rakyat luar dapat mempelajari dan mengetahui ciri khas kulinari tempatan.
“Saya lihat diri dianimasikan ditambah aneka hidangan popular SukaSucre Bistro yang difokus ke dalam aplikasi itu seperti pasta lemak daging salai, eclair, macaron dan lain-lain ibarat mereka dapat merasai pengalaman memasak bersama saya,” sambung Fazley yang sengaja mencipta pelanggan virtual dengan tema berbilang kaum dan agama di negara ini.
Aplikasi Chef Fazley’s Kitchen kini sedia dimuat turun secara percuma menerusi peranti pengguna Android atau iOS.
Sebagai penoktah kata, individu punya ambisi tinggi yang dikenali dengan sifat mesra serta merendah diri itu meletakkan ekspektasi seluas laut terhadap pelbagai pembaharuan yang dimunculkan pada tahun 2018 ini.
“Saya ingin mengukuhkan nama Fazley Yaakob sebagai sebuah jenama mampu dibanggakan di luar terutama kepada individu-individu baharu ingin bergelar cef apatah lagi selepas saya meraih satu demi satu penghargaan antarabangsa di dalam karier masakan.
“Masih belum puas, saya bermatlamat untuk terus lebih dikenali di persada dunia dengan cara sendiri menerusi penghasilan kepelbagaian produk berasaskan dunia kulinari. Dan jika selama ini saya dikenali pemenang Masterchef, kini jenama saya menjadi kebanggaan dengan kewujudan SukaSucre Creatives sebagai syarikat pengurusan bakat dan SukaSucre Studio (merangkumi produksi, studio, juruvideo dan jurugambar),” akhiri Fazley.
Dalam perkembangan lain, Fazley bakal merekod sebuah ‘single’ berbahasa Mandarin yang juga bakal dirakam dalam bahasa Melayu dan Inggeris tidak lama lagi dengan sesi penggambaran video muzik dijalankan di Taiwan pada waktu terdekat ini.