72300

Datuk Nassier Wahab Terima Banglo dan Dilantik Jadi Duta Syarikat Hartanah - Suria FM - Segalanya Hiburan

img_0134

Datuk Nassier Wahab baru-baru ini dipilih sebagai duta syarikat hartanah DBI Technology. Pemilihannya disifatkan relevan dengan diri penyanyi yang popular dengan lagu Memori Cinta Luka itu yang sudah 32 tahun bergelar anak seni, sekali gus membuktikan diri penyanyi awet muda ini yang diminati golongan muda hingga ke generasi lama.
Mengikat kontrak selama dua tahun, penyanyi berusia 55 tahun itu menyifatkan usahanya sebagai duta berkenaan diharap dapat menyuntik semangat masyarakat terutama golongan bumiputera untuk membeli rumah sendiri pada fasa yang lebih awal. Tidak hanya dilantik sebagai duta syarikat milik Datuk Boy Iman itu, Nassier yang dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk ketika berlangsungnya penganugerahan di Istana Abu Bakar pada 15 Mei lalu turut menerima hadiah banglo dari pihak DBI Technology.
Banglo berkenaan terletak di Kapar, Klang dan bernilai RM150,000.
“Banglo dan pelantikan sebagai duta ini menjadi hadiah paling bermakna ulang tahun kelahiran saya yang ke-55 tahun pada 18 April lalu. Banglo yang saya terima ini juga tak jauh dengan kediaman saya sekarang di Bukit Raja.
Tugas saya lebih kepada mempromosi pakej perumahan baru dan mampu milik untuk pelanggan. Saya pun sudah 20 tahun mengenali Datuk Boy Iman selaku orang penting kepada DBI Technology. Beliau kawan lama saya. Sambil membantu perniagaannya, dapat juga membantunya mempromosi apa yang diusahakannya.”
“Dalam hal ini, kita berusaha mendidik masyarakat untuk membeli rumah pada usia yang muda. Jangan tunggu usia lewat baru nak memiliki rumah sendiri. Rumah itu aset dan keperluan. Jangan kita ambil mudah soal membeli rumah ini,” katanya.

img_0115
Tambah penyanyi dengan nama penuh, Mohd Nasir Abdul Wahab itu, sepanjang kontrak diikat, beliau akan terbabit dengan komitmen yang diaturkan.
“Ketika ini saya dimaklumkan ada penyertaan DBI Technology dengan beberapa acara dan karnival perumahan yang dianjurkan di beberapa buah negeri dan lokasi. Saya juga tak kisah untuk turun padang. Ia ruang saya mendekatkan diri dengan peminat sekali gus berpeluang menyeru serta menarik perhatian untuk beli rumah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nassier kini terus selesa memenuhi undangan nyanyian sepenuh masa. Biar tanpa kehadiran album atau single baru, beliau yang pernah menyertai GegarVaganza musim kedua tak pernah putus undangan menyanyi. Malah keghairahannya untuk merakamkan lagu baharu juga bagaikan semakin terhakis.
“Ada tawaran buat album tapi belum ada kata putus. Saya pernah merakamkan tiga buah single tahun lalu di Jakarta membabitkan komposer Indonesia, Richard Kyoto. Lagu itu dirakamkan atas permintaannya. Sekalipun tak dipromosikan secara besar-besaran, tiga buah lagu berjudul Nada Nada Cinta, Kau Dalam Hidupku dan Cinta Suci itu saya anggap sebagai lagu yang bagus.
“Saya pun selesa dengan dengan keadaan sekarang dengan memenuhi undangan menyanyi dan bertemu peminat daripada merakamkan lagu baru. Ini kerana setiap kali keluar single baru memang kena buat promosi 200 peratus. Kadang-kadang tak terdaya lagi nak terkejar kejar mempromosi lagu sendiri. Cukuplah dengan 12 album solo yang pernah dirakamkan dahulu.
“Ramai juga cakap sayang kenapa tiga lagu baru itu tidak dipromosikan. Sayang memang sayang. Tapi kadang rasa ‘malas’ nak promosi lagu di radio. Terasa diri sudah cukup tua. Biarlah artis baru yang buat semua itu. Tambah pula setiap kali ada undangan persembahan, lagu lama juga yang diminta saya nyanyikan,” katanya.
Nassier percaya setiap single yang dihasilkan boleh pergi jauh jika ada pasukan promosi yang bagus.

saf-1
“Kalau tidak radio dan wartawan mungkin takkan layan. Sebagai penyanyi yang sudah senior, kadang kadang rasa malu juga apabila kita seperti nakkan publisiti. Apabila umur sudah mencapai separuh abad, perasaan malu dan segan itu menebal kerana wartawan generasi baharu yang seakan tidak mengenali penyanyi lama. Barangkali ada sesetengah wartawan baru yang kurang berminat nak temubual penyanyi lama seperti saya. Senario artis senior jarang dipeduli di dalam satu majlis itu bagaikan perkara biasa. Tapi ada juga wartawan baru yang masih pandai mengambil hati dan menghormati orang lama seperti kami ini,” katanya.
DBI Homes contohnya dengan tagline ‘Everyone Can Have A Home!’ adalah salah sebuah projek perumahan alaf baru berdaya saing yang menggunakan ‘Industrial Building System’ atau (IBS) yang dibina oleh syarikat perumahan dan hartanah bumiputera iaitu DBI Technology Sdn Bhd.
Syarikat ini ditubuhkan pada 16hb Disember 2016 kini sedang membangun sebagai salah sebuah syarikat pembinaan perumahan dan hartanah dengan memasarkan pakej produk rumah mampu milik berharga paling istimewa untuk seluruh negara. Ia selaras dengan seruan kerajaan untuk membina “Rumah Mampu Milik” khas untuk rakyat Malaysia.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!