90785

Datuk Syafinaz Sedia Berkongsi Ilmu Dengan Protege Mentor Lain - Suria FM - Segalanya Hiburan

Penyertaan penyanyi dan pensyarah Datuk Syafinaz Selamat di dalam program realiti Mentor musim ketujuh telah menjadi bualan ramai.

Mana tidaknya, sebelum ini penyanyi yang popular dengan lagu Ingin Bersamu ini lebih sinonim duduk di kerusi juri.

Ditanya kenapa beliau memilih untuk bergelar Mentor Kali ini, katanya sudah lama tawaran ini datang kepadanya namun kekangan masa membataskan pembabitan beliau dalam program realiti ini.

“Tahun ini saya cakap dengan diri saya apa sahaja tawaran yang datang tahun ini, ambil! Beri masa untuk diri sendiri untuk menerima peluang lain”, jelasnya ketika ditemui di sidang media rasmi memperkenal peserta-peserta Mentor 7.

Sebagai seorang penyanyi dan pensyarah yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam bidang muzik, pastinya tekanan lebih diberikan kepadanya dari segi kemampuan setiap protege menyampaikan lagu dengan baik.

“Saya rasa tekanan itu lebih kepada peserta-peserta. Betul harapan penonton sangat tinggi. Tapi pada saya ini bukan pertandingan saya tetapi untuk mereka. Tugas saya adalah untuk bantu mereka untuk serlahkan keunikan dan keistimewaan mereka”, ujarnya.

Pengalaman mengajar dalam bidang muzik serta menjadi juri dan pengkritik di pertandingan nyanyian besar, pastinya nasihat serta tunjuk ajar beliau diidamkan oleh setiap perserta termasuklah progtege dari Mentor yang lain.

Ditanya adakah beliau akan turut berkongsi ilmu yang ada dengan Protege lain, katanya beliau bukanlah seorang yang kedekut ilmu.

“Salah satu sebab saya sertai Mentor 7 adalah kerana saya ingin berkongsi ilmu. Bila saya duduk di kerusi juri, kadang-kadang apa yang saya kritik mungkin tidak sampai kerana mereka tidak faham.

Malah kadang-kadang saya lihat ada juga juri yang memberikan kritikan tidak tepat atau terma-terma yang mereka gunakan adalah salah.

Saya harap saya boleh membantu dari segi itu dan sudah tentu kalau ada protege-protege mahupun mentor lain yang sudi atau inginkan bantuan daripada saya, saya boleh berikan mereka tips tetapi saya tidak akan menegur kesalahan mereka tanpa persetujuan daripada mentor mereka sendiri”, terangnya.

Tak sabar rasanya Suria nak menonton Mentor 7 nanti. Jangan lupa untuk saksikan Mentor 7 yang akan disiarkan setiap Ahad, 9 malam bermula 29 Oktober ini di TV3.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!