
/wp-content/uploads/2018/11/DSC1820-e1543391322938.jpg)
Biarpun tidak mampu melihat, pasangan duo terbaru Dinie N Khai nampaknya bakal memeriahkan lagi industri seni muzik tempatan. Bernaung di bawah label Fizo Omar Creative, pasangan ini ada keistimewaan mereka tersendiri.
Menerusi lagu berjudul Bukan Cinta Aku, ciptaan nama hebat L.Y dan Baiduri, Dinie (Muhammad Dinie Abdul Rashid, 26) dan Khai (Khairil Azreen Jasni,25) yang selama ini banyak terlibat dengan program berbentuk motivasi serta inspirasi kini mula mendapat tempat di hati pendengar.
Gandingan vokal gemersik Dinie bersama petikan gitar akustik oleh Khai akan membuat pendengar larut dalam emosi dan mengembara bersama penceritaan lagu ini.
Mempunyai bakat besar dalam bidang nyanyian dan muzik, Dinie N Khai walau bagaimanapun diuji dengan masalah penglihatan.
Dinie mengalami gangguan penglihatan sejak berusia 9 tahun. Menjadi pelajar cemerlang hingga memilih jurusan Undang-Undang Syariah ketika berada di tingkatan enam, harapannya terkandas apabila disahkan menghidap penyakit molecular dystrophy yang menyebabkan saraf di bahagian mata rosak dan penyakit ini tidak dapat diubati. Penglihatannya beransur-ansur merosot dan kini hanya tinggal 20 peratus sahaja kemampuan untuk melihat.
Khai pula telah disahkan menghidap penyakit mata glaucoma (sejenis penyakit yang digeruni dan kebiasaanya dihidapi oleh warga emas) ketika berusia 17 tahun. Pada mulanya dia tidak mengendahkan penyakitnya itu sehinggalah insiden mata kanannya pecah akibat terkena bola ragbi ketika aktif dengan sukan itu. Bergantung pada 50 peratus penglihatan selepas itu, Khai bagaimanapun cemerlang dalam peperiksaan SPM dan berjaya mendapat Anugerah Dekan dua semester berturut-turut dalam jurusan Sains Aktuari di UiTM. Setelah lapan pembedahan mata dijalani, mata kirinya makin terjejas dan dia tidak dapat melihat sepenuhnya.
‘Tidak mahu menempa nama dalam industri kerana simpati daripada pendengar’ – Itu pegangan Dinie N Khai apabila memilih untuk menceburkan diri secara serius dalam lapangan muzik negara. Bahkan ketika mula disatukan sebagai duo di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), mereka telah diangkat sebagai Ikon Program Kau Sumber Inspirasiku di bawah Persatuan Siswazah wanita Malaysia atas kepimpinan dan semangat yang ditunjukkan untuk terus bangkit serta berdiri sama tinggi dengan masyarakat normal yang lain.
“Kalau boleh kami mahu dikenali kerana bakat yang ada serta diterima pengikut industri muzik negara sama seperti penyanyi/pemuzik normal yang lain”, ujar Dinie N Khai.
Bagai mimpi jadi kenyataan. Itu yang dapat digambarkan Dinie N Khai apabila menerima lagu Bukan Cinta Aku daripada komposer dan penulis lirik ternama L.Y dan Baiduri.
Bukan Cinta Aku berkisah tentang hubungan dua insan yang diuji dalam kehidupan mereka. Mesej di sebalik lagu indah ini adalah setiap perkara dalam kehidupan termasuk percintaan merupakan satu anugerah yang indah daripada Tuhan.
Suria mengucapkan semoga berjaya kepada mereka berdua dan diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat secara umum.