88984

EKSKLUSIF! – Salah Faham Di Antara Fazura & Seorang Pereka Fesyen Angkara Sabotaj? - Suria FM - Segalanya Hiburan

Semalam tiba-tiba laman sosial Instagram menjadi hangat gara-gara seorang pereka fesyen dari Singapura yang berpangkalan di London telah memuatnaik sebuah video berserta kapsyen yang mendakwa aktres Nur Fazura meniru atau plagiat gimik ‘finale’ pertunjukan fesyennya.

Ashley Isham mendakwa gimik model berbaring di akhir pertunjukan fesyen itu telah dilakukannya terlebih dahulu di sebuah pertunjukan fesyen pada tahun 2014.

Pertunjukan fesyen Nur Fazura di Kuala Lumpur Fashion Week 2018 (KLFW2018) telah mendapat pujian ramai kerana gimik yang mengagumkan di akhir pertunjukan.

Disebabkan status itu, ramai netizen yang menghentam aktres jelita itu yang dikatakan cuba meniru hasil kreativiti orang lain.

Namun selepas itu, pereka fesyen berkenaan telah memadamkan status yang dimuatnaiknya dan memuatnaik status yang baru.

Dalam status terbaru itu, Ashley telah memohon maaf kepada Nur Fazura kerana semua yang berlaku adalah disebabkan oleh salah faham. Katanya lagi dalam status itu, fesyen adalah sesuatu yang ‘universal’ dan mungkin perkara ini telah diaturkan oleh tuhan untuk menemukan mereka berdua.

SURIA berkesempatan bertemu Nur Fazura sewaktu sesi fotografi bersama akhbar The STAR dan bertanyakan sendiri tentang isu yang sedikit sebanyak telah mencalarkan imejnya ini.

Menurut Fazura, beliau sendiri terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ashley kerana beliau sendiri tidak mengenali siapa pereka fesyen itu.

Sejujurnya saya tidak pernah dengar atau mengenali siapa sebenarnya Ashley Isham. Yang saya kenal kebanyakannya pereka fesyen daripada Malaysia dan luar negara. Tapi Ashley saya percaya mungkin dia merupakan pereka fesyen terkenal tetapi saya tidak mengenali serta mengikuti perkembangannya.

Apabila saya dimaklumkan tentang status yang dimuatnaik olehnya, saya memang amat terkejut kerana ‘finale’ yang dilakukan olehnya pada tahun 2014 itu agak sama dengan ‘finale’ yang saya buat untuk KLFW2018 baru-baru ini.

Tetapi apabila saya dituduh melakukan plagiat atau meniru dia, saya menafikan sebab ianya tidak benar sama sekali kerana saya sendiri pun tidak pernah melihat ‘finale’ yang dibuat oleh Ashley pada tahun 2014″, jelasnya. 

Namun kata Fazura, beliau memang mengakui ‘finale’ yang dilakukannya pada KLFW2018 itu diinspirasikan daripada ‘finale’ pertunjukan fesyen pereka antarabangsa Dries Van Noten.

Fesyen adalah sesuatu yang sangat ‘universal’. Kita sentiasa terinspirasi oleh satu sama lain. Banyak pereka fesyen antarabangsa dan juga tempatan yang saling terinpirasi oleh rekaan masing-masing.

Bila saya berbincang dengan kumpulan saya, kita semua sedar bahawa saya punya konsep adalah ‘Euphoria’ yang membawa maksud kegembiraan, kebebasan dan keberanian. Pada masa yang sama saya juga ingin meraikan kecantikan wanita dalam pelbagai saiz. Sebab itu saya memohon Pom untuk berjalan di atas pentas untuk memberikan mesej bahawa ‘body shaming is not cool and beauty comes in all sizes”.

Oleh kerana tahun ini saya diberikan peluang untuk membuat pertunjukan fesyen secara solo tanpa berkongsi dengan pereka lain, saya ingin lakukan sesuatu yang berbeza daripada yang sebelum ini. Dan kerana ianya didedikasikan untuk peminat saya, saya mahu peminat saya dapat melihat saya walaupun mereka berdiri dari tingkat lima.

Disebabkan saya pendek, dan model  pula tinggi, jadi saya mengambil inspirasi dari pertunjukan fesyen Dries Van Noten dimana sewaktu ‘finale’ pertunjukan fesyen beliau, kesemua  model duduk di atas pentas. Tapi saya terfikir kalau mereka duduk, susah untuk saya berjalan melewati mereka kerana takut akan terlanggar bahu dan sebagainya. Dan ianya tidak selari dengan mesej yang saya mahu sampaikan di mana apabila model itu rebah, bererti sesiapa sahaja akan melalui halangan-halangan di hadapan. Tetapi apabila kita pasang niat untuk terus berjalan dengan berani dan penuh positif, segala halangan ini akan jatuh dan rebah.

Kalau saya sengaja nak buat gimik, saya tidak akan menjemput Pom untuk berjalan di atas pentas dan saya tidak akan menamakan koleksi saya Euphoria”, ujarnya.

Tambah Fazura lagi, segala yang dilakukan diatas pentas  KLFW2018 baru-baru imi telah pun dibincangkan dengan penyelaras majlis serta model-model yang terlibat. Malah kesemua model-model berkenaan memberikan kerjasama yang sangat baik.

Disebabkan salah faham yang berlaku ini menjadi semakin hangat dek perbalahan netizen, Ashley telah menghubungi Fazura sendiri pada tengah malam semalam untuk menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

“Ashley menghubungi saya pada tengah malam semalam dan memperkenalkan dirinya kepada saya. Katanya ada ‘seseorang’ yang telah menghantar video pertunjukan fesyen itu kepadanya dan dia menerima pelbagai mesej provokasi dari beberapa pihak untuk menaikkan kemarahannya.  Tanpa berfikir dengan panjang, Ashley telah memuatnaik status itu kerana sudah terlalu marah.

Namun akhirnya beliau tersedar apa yang dilakukannya itu adalah salah dan telah pun memohon maaf kepada saya dan berkata sebenarnya fesyen adalah sesuatu yang ‘universal’ .

“Saya juga bercakapnya dengannya secara baik dan meminta maaf bahawa saya tidak pernah mengenalinya dan mendengar namanya sebelum ini tetapi saya pasti dia mesti sangat terkenal di negaranya. Jadi tiada sebab untuk saya menonton video pertunjukan fesyennya di YouTube.

Untuk berkata saya menirunya adalah salah kerana arah saya berbeza dengannya dan keseluruhan gimik itu terjadi secara kebetulan. Allah telah kurniakan akal fikiran serta inspirasi kepada kita mungkin ada yang sama. Dan dia juga mengakui serta menyedari akan perkara itu.

Dia telah memohon maaf kepada saya secara baik dan tidak mahu memperbesarkan lagi hal ini. Dan sebagai seorang yang pemaaf, saya juga telah memaafkan dia”, terang Fazura.

Ditanya kepada Fazura adakah beliau merasakan perkara ini merupakan unsur-unsur sabotaj yang cuba dilakukan kepadanya, kata Fazura dia mengakui tentang hakikat itu.

Saya harus mengakui sebagai manusia terdapat macam-macam hasutan serta perasan yang syaitan nak kita dihasuti dan tewas. Saya tidak nafikan perkara itu dan saya sedar ada sesetengah ‘puak’ yang sentiasa memerhatikan gerak geri serta mencari kesilapan saya. Mereka juga sering melakukan pelbagai provokasi serta cubaan-cubaan sabotaj untuk menjatuhkan saya”, katanya

Fazura juga tidak menafikan apa yang terjadi ini mungkin tercetus daripada provokasi seorang artis wanita serta pengikutnya yang sejak sekian lama asyik cuba menjatuhkan dirinya.

Saya sekadar mahu hidup dalam ketenangan dan sebagai seorang yang beragama Islam, saya sentiasa memaafkan mereka dan berharap semoga satu hari nanti mereka akan sedar dan mendapat  hidayah bahawa apa sahaja yang dilakukan mereka lama kelamaan akan berbalik kepada diri mereka. Apa sahaja yang kita lakukan ia mencerminkan hati dan juga peribadi kita. At the end of the day, love always win!“,  Kata Fazura mengakhiri perbualan. 

 

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!