89018

Ezzaty Abdullah Tidak Mahu Merokok Walaupun Dalam Lakonan, Pegang Pun Tak Mahu. - Suria FM - Segalanya Hiburan

Pelakon Ezzaty Abdullah telah berkongsi pengalamannya menjadi seorang ibu ayam kepada pihak media semalam.

Ezzaty ditemui sewaktu majlis pelancaran siri terbaru atas talian Iflix yang berjudul KL Gangster Underworld.

Ezzaty memegang watak sebagai Elina iaitu seorang ibu ayam di dalam siri yang diterbitkan oleh Skop Production ini.

Menurut Ezzaty, dia sepatutnya berehat selama 100 hari selepas melahirkan anak sulung, tetapi terpaksa berkorban untuk masuk ke set penggambaran siri ini pada hari ke 49 kerana sayang untuk melepaskan peluang ini.

“Watak ini adalah salah satu watak yang saya idamkan kerana ia adalah sesuatu yang berbeza dari Ezzaty Abdullah. Naskah ini sangat bagus kalau saya tolak saya akan rugi besar dan saya tengok senarai pelakon pun semuanya bagus. Kalau saya tak ambil watak ini sekarang entah bila pula saya akan dapat tawaran seperti ini”, jelasnya.

Melihatkan personaliti Ezzaty agak berlawan dengan karektor seorang ibu ayam, kata Ezzaty dia banyak belajar dengan golongan lembut seperti jurusolek untuk lebih menjiwai watak ibu ayam.

“Lepas saya dapat tawaran ini, terus saya menghubungi rakan-rakan saya. Dan mereka memberi macam-macam tunjuk ajar dari segi pergerakan, mimik muka dan pakaian.

Kalau bukan kerana mereka yang membantu saya, saya sendiri tak tahu macam mana nak membentuk karektor ibu ayam ini kerana benda-benda macam ni kita tak boleh belajar dari video”, jelasnya.

Namun ada satu prinsip utama yang dipegang Ezzaty, iaitu dia tidak akan sekali-kali merokok di dalam lakonannya.

“Bagi saya sebagai seorang perempuan kita tak patut bagi imej yang tidak elok. Saya dah letak prinsip saya walaupun dalam lakonan saya tak akan merokok. Saya pun sudah cakap awal-awal, kalau saya terpaksa hisap rokok saya tidak akan ambil watak ini, walau hanya sekadar pegang pun saya tak nak”, ujarnya.

Tetapi kata Ezzaty, jika difikirkan logik penceritaan, dia memang tidak boleh merokok di dalam siri tersebut kerana membawakan watak ibu ayam yang sebenarnya sedang hamil.

Apabila melakonkan watak yang ‘daring’ seperti ibu ayam, pastinya pakaian yang dipakai juga akan dititikberatkan supaya kena dengan karektor.

“Saya akui pakaian saya seksi di dalam siri ini tetapi saya juga mempunyai had yang saya tentukan. Malah setiap kali dipakaian pakaian yang disediakan pihak produksi, saya akan mengambil gambar dan menghantar kepada suami dahulu”, katanya.

SURIA hormat dengan prinsip Ezzaty yang tidak mudah goyah dan pihak produksi hormat akan keputusannya itu. Semoga siri KL Gangster Underworld ini mendapat sambutan ramai.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!