94172

Fara Fauzana Kini Lengkapkan Trio Team Pagi Suria - Suria FM - Segalanya Hiburan

Setelah sekian lama meninggalkan dunia penyiaran radio, kini Fara Fauzana kembali bersiaran diwaktu pagi dan kali ini di konti Suria. Kehadiran beliau pastinya akan membuatkan slot pagi di suria yang dikenali sebagai ‘Team Pagi Suria’ yang dikendalikan oleh Issey dan Fizi Ali akan lebih gamat lagi.

Bermula sebagai penyampai jemputan di Suria ketika kempen ‘Super 8 Suria’ sekitar awal tahun 2019, Fara Fauzana menyifatkan tawaran Suria ini sebagai rezeki dan sekaligus peluang terbaik untuk beliau kembali mengubati kerinduan peminatnya untuk bertugas di konti radio.

“Tidak kira di stesen mana kita bersiaran, yang paling penting adalah kita fokus kepada pendengar, janji mereka gembira dengarkan kita ke udara,” kata Fara Fauzana.

Tambah Fara lagi, kemunculannya sebagai penyampai bersama Team Pagi Suria adalah bagi menambahkan lagi kemeriahan suasana Team Pagi Suria bersama Issey dan Fizi Ali.

Menurut Pengurus Kanan Suria, Cik Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali dengan nama DJ Lin, pemilihan Fara Fauzana sebagai taruhan terbaru Suria merupakan salah satu initiatif dalam memperkukuhkan lagi jenama Suria.

“Selepas perbincangan dengan pihak pengurusan radio, kami yakin, kehadiran Fara Fauzana dapat membantu menaikkan jumlah rating pendengar Suria dan mampu memberikan impak yang besar. Melihat kepada maklum balas positif yang kami terima serta keserasian sewaktu bertugas bersama Issey dan Fizi Ali ketika beliau menjadi penyampai jemputan di Suria sebelum ini merupakan antara kriteria utama kenapa kami memilih Fara Fauzana,” kata DJ Lin.

Tambah beliau lagi, kehadiran Fara Fauzana diharapkan dapat menceriakan dan menghidupkan pagi pendengar Suria menerusi isi kandungan program yang lebih segar, menarik dan interaktif sekaligus menjadikan Suria sebagai stesen radio pilihan rakyat Malaysia.

Bermula 26 Ogos 2019 (Isnin) slot pagi di Suria dikenali dengan nama Team Pagi Suria x Fara Fauzana akan berkeudara setiap Isnin hingga Jumaat seawal 6.00 pagi hingga 10.00 pagi.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!