
/wp-content/uploads/2017/11/23010759/Photo-23-07-2017-11-46-42-AM1-1024x683.jpg)
Juara Masterchef Seleberiti Malaysia Dato’ Fazley Yaakob terus mengukir kejayaan lagi di arena antarabangsa.
Terbaru, Fazley telah dipilih sebagai Duta Pelancongan Halal Ke Taiwan dan ini memberi peluang kepadanya untuk mendidik sekali gus memberi kesedaran kepada umum terutama para pelancong mengenai aspek pelancongan halal di negara tersebut.
Menurut Fazley, beliau cukup gembira dengan pelantikan ini yang bertujuan menggalakkan pelancongan halal di Taiwan sekali gus menepis sebarang perasaan kurang yakin, gundah-gulana, ketidakselesaan, was-was atau keraguan para pelancong dari luar untuk melawat ke Taiwan secara keseluruhan.
“Masih ramai yang tidak tahu bahawa ibu kota Taiwan, Taipei sebenarnya menyediakan banyak kemudahan untuk orang Islam terutama makanan halal, hotel yang menunjukkan arah kiblat serta penyediaan sejadah dan tandas awam bersesuaian kegunaan kita. Tidak hanya itu, puluhan brosur disediakan sebagai panduan untuk mencari restoran atau kafe halal di sana.
“Secara total, Taiwan adalah sebuah negara yang mesra pelancongan halal. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menggalakkan pelancongan di Taiwan bukan sahaja kepada rakyat di Malaysia, tidak ketinggalan Singapura, Indonesia dan Brunei,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Fazley sebagai Duta Pelancongan Halal Ke Taiwan yang turut dihadiri oleh wakil media dari Malaysia 23 Julai lalu.
Sepanjang rombongan lima hari empat malam itu, para wartawan berpeluang untuk menyaksikan sendiri detik bersejarah Fazley dilantik sebagai duta.
Lawatan Teroka Halal Di Taiwan Bersama Fazley anjuran SukaSucre Creatives x Uprising Entertainment Sdn. Bhd. ini dengan para media tempatan ini mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada Biro Pelancongan Taiwan.
Menyambung bicara, Fazley mengharapkan agar pelantikan ini dapat menjadi pembuka pintu lebih luas untuk orang ramai menanyakan sebarang soalan atau permasalahan berkaitan pelancongan halal di Taiwan: “Para peminat boleh bertanya terus kepada saya di semua medium laman sosial; Instagram, Facebook atau Twitter (@fazleyyaakob). Tidak perlu berasa malu atau segan. Insya-Allah, saya cuba menjawab setiap pertanyaan anda. Sebagai duta, saya ibarat tour guide kepada ramai pelancong. Lewat kebelakangan ini, ramai yang bertanya kepada saya tentang tempat bersesuaian untuk dilawati di sana.
“Kalau hendak tahu, ada beberapa restoran yang bila mereka mengetahui bahawa anda adalah beragama Islam, maka mereka akan segera meminta tukang masak untuk menggunakan dapur memasak khas termasuk menggunakan perkakas seperti kuali, senduk, sudu, garfu atau pinggan mangkuk berbeza daripada pelanggan lain. Hakikatnya, semua ini telah lama dilakukan oleh pentadbiran kerajaan di Taiwan. Cuma yang pasti, ia masih serba baru untuk saya kongsikan bersama orang ramai.”
Pelantikan anak kelahiran Negeri Sembilan ini sebagai duta bermula secara lisan beberapa bulan lalu. Dan semua berawal atas kapasiti Fazley yang pernah beberapa kali terlibat dalam program anjuran Biro Pelancongan Taiwan termasuk menyertai program pertandingan masakan bersama cef di negara tersebut untuk siaran TV9.
“Saya telah memenangi pertandingan masakan itu sehingga mendapat liputan menyeluruh daripada pihak media Taiwan, Jepun dan China. Sejak itu, saya sering mendapat undangan bagi mempromosikan Taiwan termasuk di Kuala Lumpur sehingga mereka melantik saya sebagai duta pelancongan halal.”
Punya cita-cita tinggi melangit, Fazley turut berkongsi rencana bahawa beliau ingin terus memekarkan karier seni di Taiwan berawal dengan menjalani penggambaran video muzik lagu-lagu dalam album berbahasa Mandarin tidak lama lagi.
“Dan kalau bercakap soal makanan, saya mengamal dasar keterbukaan jika ada pihak tertentu atau rakan kongsi yang ingin membuka cawangan baru SukaSucre Bistro atau Mamanda Restaurant di sana. Jika sebelum ini saya menjadi jambatan dunia kulinari di antara Malaysia – Singapura, kini sebagai penghubung kulinari halal di Taiwan pula,” ungkap Fazley.
Dalam waktu sama, bapa kepada tiga cahaya mata itu turut menggalas tanggungjawab sebagai jurucakap Panasonic Cooking, F&N King’s Ice Cream, San Remo Pasta, Kicap Mahsuri dan Mazola Oil.
Fazley baru sahaja melancarkan buku resepi menghimpunkan masakan autentik Negeri Sembilan, manisan serta pastri klasik Perancis dan sajian kuliner khas fusion Asia, My Sucre Story dan single berjudul Ketiadaan.
Sementara itu, cawangan kedua Mamanda bakal memulakan operasi di 10, Jalan 1/70D & Off Jalan Bukit Kiara, Jalan Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada awal Ogos ini.
Gambar oleh @theshahrulizzat