86226

Fazley Yaakob Jadi Wajah Chatime Ramadan Ini! - Suria FM - Segalanya Hiburan

Rezeki cef selebriti dan penyanyi popular, Datuk Fazley Yaakob begitu murah kerana hampir setiap bulan ada sahaja perkembangan positif terbaru tentangnya. Terkini, selebriti yang baru sahaja menyambut hari jadinya yang ke-40, pada 18 April lalu dilantik sebagai wajah kempen Ramadan jenama terkenal dan francais ‘bubble tea’ antarabangsa, Chatime, pada sebuah majlis pelancaran yang diadakan di SukaSucre Bistro Khamis lalu.

Menampilkan tema Buka Puasa, Buka Rasa, Fazley menghasilkan dua jenis minuman edisi istimewa; Bandung Sago Pearl Milk Tea dan Cendol Sago Milk Tea sebagai memenuhi kepelbagaian permintaan pelanggan setia dan baharu Chatime terutama pada Ramadan ini.

Menurut Fazley, dia amat terharu dan bangga apabila diberikan peluang untuk bekerjasama dengan Chatime yang kebetulan merupakan minuman kegemarannya dan keluarga sejak awal lagi.

“Apabila ditawarkan peluang kolaborasi ini, sudah pasti saya berasa teruja kerana selama ini sudah memasang angan-angan untuk menghasilkan resepi minuman istimewa jenama Chatime,” katanya ketika ditemui usai majlis tersebut.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia Sdn. Bhd. milik penuh Will Group, Aliza Ali dan Pengarah Eksekutif, Widayu Latiff.

Pada majlis itu, Fazley turut melakukan demonstrasi penyediaan dua minuman tersebut yang mengenengah sago sebagai keistimewaan sambil dibantu oleh Aliza serta Widayu.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pemilihan Fazley sempena kempen Ramadan ini, Aliza memberitahu pengalaman dan minat Fazley dalam mempelbagaikan resepi dalam bidang kulinari merupakan sebab mereka memilihnya sebagai wajah kempen sempena Ramadan kali ini, bertepatan dengan jenama Chatime yang menitikberatkan kepelbagaian di dalam minuman yang dijual. “Datuk Fazley bukan sahaja merupakan wajah kempen, malah resepi bagi minuman kolaborasi Ramadan ini telah diolah olehnya sendiri” kata Aliza

Bandung Sago Pearl Milk Tea (boleh ditambah dengan krim vanila) dan Cendol Sago Milk Tea dijual setiap satu dengan harga RM8.90.

Dua minuman istimewa ini boleh diperolehi di seluruh cawangan Chatime di Malaysia bermula seminggu sebelum Ramadan dan berakhir pada minggu awal Hari Raya Aidilfitri ini.

Chatime yang memasuki negara ini sejak tahun 2009 kini mempunyai hampir 40 cawangan di seluruh Malaysia.

Selain Malaysia, Chatime juga memiliki lebih 1700 buah cawangan di 32 negara seperti London, Paris, Amerika Syarikat, Kanada, Dubai, Australia, Korea, China, India, Vietnam, Hong Kong, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam *dan Taiwan*.

Mungkin inilah yang dinamakan rezeki hari jadi. Kami di Suria mendoakan semoga Dato Fazley terus berjaya dalam bidang yang diceburinya.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!