Kasihan pula kami rasa selepas terbaca berita ini di laman Harian Metro.

Menurut laporan tulisan Amirul Haswendy itu penerbit filem Qhaliq, Datuk Fyzal Fauzi kecewa filem terbitan syarikatnya ini ditarik dari pawagam di seluruh negara, bermula hari ini.

“Saya dapat tahu perkara ini selepas ke pawagam untuk membawa beberapa ahli kadet bomba menjayakan ‘movie day out’ hari ini.

“Ikutkan perancangan, kami mahu menjalani jerayawara bermula minggu depan bersama barisan pelakon filem Qhaliq tapi dengan penarikan filem ini dari pawagam aktiviti itu akhirnya terbantut,” katanya.

Beliau turut mendapat aduan daripada penonton tempatan bahawa walaupun jadual tayangan di pawagam sudah dipaparkan tetapi apabila penonton datang, tayangan dibatalkan.

Ada juga beberapa pelakon yang merancang untuk mengadakan sesi ‘movie day out’ bersama peminat sejak semalam, terpaksa membatalkan aktiviti akibat situasi yang berlaku.

Penerbit Ohhsem Networks Sdn Bhd ini mengakui, ia membuktikan isu yang pernah dibangkitkan pengarah dan penerbit filem Aifa Motion Pictures, Ahmad Idham Nadzri, bahawa ramai penerbit baru sering menjadi mangsa Sistem Wajib Tayang (SWT) adalah berasas.

Katanya lagi, kebanyakan penerbit baru sebelum beliau sudah pun menerima nasib yang sama dan kini situasi malang itu kembali berulang.

Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif Ohhsem Networks Sdn Bhd, Hafiz Fauzi ketika dihubungi Harian Metro, turut meluahkan kekecewaan sama.

“Saya pun tidak pasti siapa sebenarnya yang bertanggungjawab perihal syarat tayangan di pawagam ini.

“Adakah kuasa pemilik pawagam di Malaysia lagi besar daripada penggubal peraturan perihal pawagam dan tayangan?” soalnya.

Filem Qhaliq mula ditayangkan pada 14 Jun lalu dan sepatutnya ditayangkan di pawagam tempatan sekurang-kurangnya dua minggu, yakni sehingga minggu depan jika mengikut syarat yang dikenakan oleh SWT.

Qhaliq arahan Rosli Mohd Taib menampilkan pelakon Hairul Azreen, Risteen Munim, Aliff Yasraf, Ahmad Idham dan Nur Albaniah.

Slot tayangan filem itu di pawagam tempatan digantikan dengan sebuah filem tempatan berjudul This Is Pilah yang mula ditayangkan hari ini.

Kami di Suria sudah menonton filem ini sewaktu sesi tayangan media beberapa bulan lalu dan kami rasa ia wajar dikongsi dengan penonton umum untuk menjelaskan gambaran pengorbanan pihak bomba kepada rakyat Malaysia.

sumber : Harian Metro

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!