72191

Fiqri Jelani Terlalu Merindui Mu - Suria FM - Segalanya Hiburan

rash7188

Bukan mudah untuk Fiqri Jelani yang berusia 25 tahun membina impian dan mengejar cita-cita menjadi penyanyi terkenal. Dia pernah diejek, diperli dan sering menjadi mangsa sindiran rakan sekampung yang pernah membesar bersamanya di Felda Vesout 1, Slim River, Perak.

Anak bongsu daripada lima beradik itu melalui satu perjalanan hidup yang penuh dugaan namun Fiqri atau nama sebenarnya Mohd Fiqri Jelani, percaya dan yakin suatu hari nanti pasti segala angan-angannya akan menjadi kenyataan.

Sebagai anak yang paling rapat dengan ibunya, Fiqri mengorbankan sebahagian masa remaja menjaga ibunya, Che Robiah Ahmad, yang menderita penyakit barah hati. Fiqri sanggup berkorban apa saja untuk insan yang melahirkan dan membesarkannya itu.

“Ketika ibu sakit, saya sedang belajar di Kolej Kini Trolak dalam jurusan kejuruteraaan tetapi saya tidak dapat menamatkan pengajian kerana perlu menjaga ibu memandangkan abang dan kakak saya sudah berkahwin. Saya tidak kisah mengambil alih menjaga ibu kerana saya masih bujang dan tiada sebarang tanggungan.

“Selepas tiga tahun menderita, akhirnya ibu pergi buat selamanya pada 2012 dan selepas ketiadaan ibu saya rasa jiwa saya kosong dan sering menjadikan lagu nyanyian Apit daripada kumpulan Baron Bros (band dari Singapura) sebagai inspirasi.

“Apit memuat naik lagu nyanyiannya sambil bermain gitar di Youtube. Bezanya kebanyakan video yang Apit muatnaikkan bukan video cover lagu artis lain, tetapi dia menyanyikan lagu ciptaannya sendiri.

“Daripada lagu nyanyian Apit, saya mendapat ilham untuk mencipta lagu dan lirik sendiri. Ketika itu saya masih tinggal di kampung dan selepas kawan-kawan tahu saya mencipta lagu, saya terus menjadi mangsa ejekan dan sindiran mereka,” katanya.

Menyambung bicaranya, ujar Fiqri, pantang dia bertembung dengan mereka mesti diejek kononnya dia angan-angan Mat Jenin dan ‘buat kerja bodoh’.

Dek kerana tidak tahan terus diejek, Fiqri berpindah ke Rawang dan menumpang di rumah pangsa milik rakannya. Di sana dia berniaga di gerai burger kepunyaan abang iparnya.

“Sejak berpindah ke Rawang, hampir dua tahun saya tidak pulang ke kampung kerana malu diejek kawan-kawan. Dalam pada itu saya teruskan minat mencipta lagu dan dimuatnaik dalam Youtube. Apabila rakan-rakan di kampung nampak saya di Youtube, mereka gelar saya ‘budak Youtube’ pula,” katanya.

Fiqri yang mewarisi darah seni daripada arwah ibunya yang pernah menjadi penyanyi nasyid di Felda Vesout 1, terus nekad mengejar cita-citanya dan ternyata tuah dan rezeki menyebelahinya apabila dia dilamar menjadi artis Sony Music Entertainment Malaysia (Sony Music). Tawaran datang selepas Pengarah Pemasaran Sony Music, Aziana Ali, mendengar nyanyiannya di Youtube.

“Saya terkejut dan tidak pernah menduga akhirnya impian saya menjadi kenyataan dan lebih menggembirakan apabila pihak Sony Music Malaysia memberi peluang kepada saya untuk merakamkan lagu ciptaan saya sendiri dan be. Lirik juga saya hasilkan sendiri. Lagu itu berjudul Terlalu Merinduimu. “Terlalu Merinduimu” turut mendapat sentuhan daripada komposer, Eddie Hamid. Sebelum rakaman Eddie mengolah lagu dan lirik agar lebih puitis dan menangkap emosi pendengar,”kata Fiqri

Selepas mengetahui perkembangan terbaru itu, rakan-rakan yang dulu mengejeknya sudah berubah sikap di mana mereka mula mengaguminya dan mahu berbaik dengannya semula.

“Kebetulan selepas single saya siap, ayah (Jelani Salleh, 68) tidak berapa sihat dan saya kembali menetap di kampung untuk menjaganya. Mereka yang dulu mengejek saya, terkejut mendengar cerita saya berjaya menjadi artis rakaman dan mereka termalu sendiri. Jika dulu saya dihina, kini saya disanjung serta mengaku saya ‘orang kampung’ mereka.

rash7197

“Sukar untuk saya menterjemahkan perasaan ketika ini tetapi saya cuba memandang segala yang berlaku daripada sudut positif. Jika sebelum ini ada yang tidak menegur saya, sekarang sudah mengaku kawan.

“Saya bukan orang senang, saya buat macam-macam kerja dan pernah jadi pemandu lori. Alhamdulillah, kini segala usaha dan pengorbanan saya terbalas dengan kemunculan single “Terlalu Merinduimu”.

“Saya tidak mahu bermusuh dengan sesiapa dan siapa pun yang mahu berkawan, saya terima dan sedia memaafkan,” katanya.

Fiqri kini berulang alik dari Slim River ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan lagunya yang dilancarkan pada 31 Mac 2017.

Bagaimanapun, Fiqri berjanji dengan dirinya tidak mahu lalai dan leka dengan nikmat Tuhan kerana baginya susah atau senang adalah ujian daripada-Nya.

“Cuma saya mahu ‘buka mata’ orang kampung bahawa tiada apa yang mustahil dan tidak salah untuk berangan-angan,” katanya.

‘Terlalu Merinduimu’ boleh dimuat-turun di iTunes dan stream menerusi portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, Raku, Spotify dan Yonder Music.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!