95610

‘Garang’ : Aku Luar Biasa, Filem Aksi Pertama Melibatkan Orang Kurang Upaya (OKU) - Suria FM - Segalanya Hiburan

Bersempena dengan sambutan Hari Orang Kurang Upaya Antarabangsa yang disambut pada 3 Disember setiap tahun, sebuah filem aksi pertama Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia terbitan Sakti Films Sdn Bhd bakal menemui penonton di seluruh negara pada 5 Disember ini.

Filem arahan dan idea asal Kan Varren (Varren) ini mengambil inspirasi daripada kehidupan individu sebenar yang merupakan salah seorang pelakon dalam filem ini iaitu Izam yang juga bekas atlit paralimpik dalam acara sukan lumba kerusi roda sehingga ke peringkat antarabangsa. Izam pernah mewakili Malaysia sehingga ke Jepun dan Korea sekitar tahun 1998 – 2005.

Pengarahnya, Varren berkata, melihat sendiri kehidupan yang dilalui oleh golongan OKU di Bengkel Sampul Surat, Batu Pahat, Johor, dia terpanggil untuk mengangkat kisah hidup Izam sebagai latar utama dalam filem Garang.

“Inisiatif filem ini adalah daripada produser Sakti Films Sdn Bhd, Dakshina Muriti yang juga pengurus di Bengkel Sampul Surat bagi mencari dana untuk membina sebuah asrama baru untuk pelatih OKU di bengkel itu.

“Memandangkan sejak kecil hingga dewasa saya membesar di sana dan melihat sendiri kehidupan yang dilalui golongan OKU, saya terpanggil untuk mengangkat kisah hidup Izam yang saya kira sangat menarik kerana dia adalah seorang bekas atlit paralimpik kebangsaan dalam acara sukan lumba kerusi roda.

“Tambahan pula, masih kurang kisah tentang OKU diangkat di layar perak. Saya harap filem ini akan mendapat sambutan dari segenap lapisan masyarakat sebagai tanda sokongan dan galakan kepada golongan OKU. Selain itu, saya juga berharap agar filem ini mencapai matlamat utamanya iaitu untuk membina asrama baru di Bengkel Sampul Surat di Batu Pahat,” katanya.

 

Menurut Varren, menerusi filem Garang, pihak produksi turut memberi peluang kepada golongan OKU untuk merasai sendiri pengalaman berlakon di layar perak sekali gus menangkis tanggapan negatif masyarakat.

“Filem ini bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan OKU berlakon dimana disamping dapat mencungkil bakat baru, mereka juga dapat merasai pengalaman yang istimewa. Ia juga dapat menangkis tanggapan negatif masyarakat yang selalu melihat OKU sebagai orang yang tidak berdaya dan mempunyai kehidupan berbeza.

“Malah penghasilan filem ini juga dapat membantu menambah pendapatan sara hidup OKU yang terlibat dan peluang untuk ke peringkat yang lebih tinggi khasnya kepada pelatih di Bengkel Sampul Surat Batu Pahat, Johor.

“Ini kerana, sebahagian kutipan tayangan filem adalah bertujuan untuk kegunaan projek pembangunan berteraskan kebajikan seperti membina asrama baru untuk pelatih OKU di Bengkel Sampul Surat, Batu Pahat menambah baik kilang / bengkel percetakan am dan lain-lain lagi,” katanya lokasi penggambaran hampir 80% di Batu Pahat dan selebihnya di Kuala Lumpur.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta itu dibintangi barisan pelakon hebat seperti Pablo Amirul, Ahmad Maembong (OKU Fizikal), Osman Omar (OKU Fizikal), John Elijah (OKU Fizikal), Chacha Maembong, Wan Hanafi Su, Jalil Hamid, Izam Abdul Hamid (OKU Fizikal) dan Shukur Abd Hamid (OKU Fizikal).

Menyentuh mengenai cabaran mengarahkan filem Garang, Varren berkata, dia perlu memberi tunjuk ajar kepada pelakon OKU yang tiada asas dan pengalaman berlakon.

“Saya bersyukur sepanjang 25 hari menjalani penggambaran dan mengarahkan filem ini, saya tidak berdepan banyak cabaran sukar cuma perlu mengajar pelakon OKU sahaja kerana mereka tidak mempunyai pengalaman dalam lakonan serta perlu memahami tahap kemampuan pelakon lain.

“Namun begitu semua pelakon sangat komited serta bersungguh-sungguh dalam menjayakan watak mereka,” katanya filem terbabit turut menampilkan Emma Maembong sebagai penampilan istimewa.

Filem Garang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula pada 5 Disember 2019.

SINOPSIS

Mengisahkan tentang Izam, seorang atlit paralimpik yang banyak mewakili negara dalam acara sukan lumba kerusi roda.

Dalam satu insiden, Izam telah terbunuh setelah terlibat dalam kemalangan jalanraya dan Reza (sahabat Izam) telah dipersalahkan. Tanpa diketahui, Izam juga sebenarnya adalah seorang pelumba kerusi roda haram yang dianjurkan oleh penajanya sendiri iaitu Saiful.

Saiful berang apabila mengetahui Izam ingin meninggalkannya dan mengugut akan melaporkan kepada pihak polis. Saiful mengugut Jasmin (adik Izam) dengan mengatakan Izam mempunyai hutang yang banyak dan memaksa Jasmin menjelaskan semua hutang tersebut.

Jasmin yang buntu terpaksa meminta bantuan kawan-kawannya yang berada di Pusat Kebajikan iaitu Kamal, Rashid dan Macha bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Reza pula yang merasa bersalah atas kematian Izam telah menghilangkan diri.

Berjayakah Kamal, Rashid dan Macha membantu Jasmin dan bagaimanakah Reza dapat menebus perasaan bersalahnya kepada semua terutama Jasmin?

Apakah yang akan berlaku seterusnya, semua ini akan dapat disaksikan dalam filem Garang yang akan menemui penonton di pawagam pada 5 Disember 2019.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!