72534

Gelora Diberi Nafas Baru Yang Lebih Seksi - Suria FM - Segalanya Hiburan

Hampir 56 tahun berlalu sejak lagu berjudul “Gelora” dirakamkan oleh ikon negara Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee & Seniwati Agung Allahyarham Puan Sri Saloma untuk filem ‘Seniman Bujang Lapok’. SEAN GHAZI kini melancarkan semula lagu indah ini, dengan memperkenalkan IDA MARIANA, bersama sebuah video baharu arahan Tate Mario Ghazi.

‘Gelora’ merupakan lagu single pertama Sean Ghazi di luar album pertama beliau — SEAN GHAZI ‘SEMALAM’. Rakaman muziknya dibuat di Amerika Syarikat, manakala rakaman vokal dilakukan di AS dan Kuala Lumpur. Lagu ini menonjolkan ciri gubahan ala ‘fever’ oleh ‘Stylo Mylos’, kugiran Sean Ghazi semasa berada di AS.

screen-shot-2017-08-16-at-2-30-54-pm

“Saya ingin cuba beralih daripada cara pengorkestraan yang dipaparkan dalam album pertama saya, ‘SEMALAM’,” ujar Sean. “Dengan percubaan ini, saya mendapat satu bunyi baharu dengan barisan alat muzik yang sedikit tetapi mantap, berbanding sebuah orkestra penuh.”

Dengan mengetengahkan hanya empat alat muzik – gitar, bes, genderang dan organ hammond – eksperimentasi ini menghasilkan versi bunyi yang tulen dan padat tetapi bergaya, yang menggarap teras muzik pop Melayu dahulu, diinspirasikan muzik jazz vintaj dan ditambah pula dengan elemen muzik kontemporari.

screen-shot-2017-08-16-at-2-30-18-pm

“Ilham susunan muzik ini datang semasa saya memegang watak utama dalam pementasan MUZIKAL P. RAMLEE pada tahun 2007,” jelas Sean. “Saya sering menyanyikan lagu ini dengan beberapa pasangan duet tetapi hanya betul-betul berani mengusahakan karya ini semasa tinggal di AS.”

Menurut Sean lagi, dia sudah lama mahu merakamkan lagu bersama Ida Mariana, seorang rakan lama dan pasangan kolaborasi yang amat dikenali di arena jazz tempatan. Ida telah menyusul untuk bertemu Sean di Portland Oregon untuk terlibat dalam sebuah konsert di Washington Park pada tahun 2015, dan mereka mengambil peluang bekerja rapat dengan pemuzik-pemuzik di sana untuk menghasilkan versi ‘Gelora’ yang lebih menawan.

screen-shot-2017-08-16-at-2-37-04-pm

“Sebagai rakan duet, telah tiba masa yang sesuai untuk kami menerbitkan lagu ini bersama-sama,” tambah Sean.
Sean berkata bahawa ada sebab lain di sebalik penghasilan ‘Gelora’, iaitu untuk membawa irama vintaj Malaysia ke peringkat global, memandangkan perlu ada usaha bagi memastikan agar khazanah muzik negara terus hidup.

“Pada pendapat saya, ada antara karya klasik kita yang seharusnya menjadi sebahagian daripada repertoir antarabangsa – dan jika saya dapat memainkan peranan untuk menempatkan lagu klasik P. Ramlee sebaris dengan lagu-lagu seperti ‘My Way’, ‘Sway’ dan ‘Unforgettable’, ia akan mengangkat martabat khazanah muzik kita agar terus hidup di persada dunia.”

screen-shot-2017-08-16-at-2-29-20-pm

Video ‘Gelora’ diarahkan oleh TATE MARIO GHAZI, juga adik kandung Sean, yang turut bertanggungjawab menghasilkan video muzik ‘SEMALAM’ dan ‘KU IMPIKAN BINTANG’.

“Dalam video ini, kami ingin mendalami hubungan antara pasangan yang cukup ikonik seperti P. Ramlee dan Saloma – seumpama ‘Brangelina’ pada era mereka dahulu. Dalam versi ini, kami mencipta dua watak iaitu seorang jurufoto bersama sang ilhamnya,” kata Tate, lalu menambah bahawa ada ketikanya watak-watak tersebut kabur lalu memperlihatkan mereka sebagai pasangan duet.

screen-shot-2017-08-16-at-2-29-46-pm

Secara visual, video tersebut dirakamkan dengan warna, namun berlatarkan hamparan warna putih, memberi ilusi filem hitam putih. Kontras hitam dan putih tersebut boleh dikatakan meninjau kembali video muzik pertama Sean iaitu ‘SEMALAM’, walaupun ia sebenarnya berlaku lantaran kekangan bajet.

screen-shot-2017-08-16-at-2-40-35-pm

“Sean mahukan segalanya tentang ‘Gelora’ serba ringkas dan sederhana, dan ini sangat tepat, terutama dengan faktor teknikal yang perlu dipertimbangkan semasa pembikinan video ini.

screen-shot-2017-08-16-at-2-42-21-pm

“Saya juga memerlukan ruang yang mencukupi, untuk mendapatkan visual yang ingin saya sampaikan, oleh itu kami lakukan penggambaran di sebuah lokasi yang kosong dan putih, sehari suntuk, dan kami berjaya!”

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!