93355

GFriend Cipta Memori Di Kuala Lumpur - Suria FM - Segalanya Hiburan

Permintaan peminat untuk menyaksikan GFriend membuat persembahan di Kuala Lumpur akhirnya tercapai apabila Malaysia menjadi salah satu lokasi konsert 2019 Gfriend Asia Tour [Go Go Gfriend!] di Kuala Lumpur. Sabtu lepas, lebih kurang 4,300 orang peminat GFriend telah menghadiri konsert berkenaan di Stadium Malawati.

Berpenampilan ceria dengan pakaian berwarna pastel membawakan lagu seperti Me Gustas Tu, Life Is A Party & Vacation di pembukaan konsert membuatkan stadium gamat dengan sorakan penonton.

Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu padat dengan tarian yang comel lengkap dengan prop pentas, ibarat menonton muzik video mereka.

Tidak menyangka ribuan penonton hadir ke konsert mereka, kumpulan yang dianggotai oleh Yerin, Eunha, Yuju, SinB, Umji dan Sowon ini turut menyatakan keterujaan mereka berkunjung ke Malaysia untuk kali pertama.

Cuba untuk berkomunikasi dengan peminat, keenam-enam gadis ini tidak kekok menggunakan frasa Bahasa Melayu seperti ‘Terima Kasih, Saya Suka Kamu, Seronok Tak dan juga frasa viral ‘Baby Sayang’ yang mendapat jeritan kuat dari peminat lelaki.

Ketika lagu popular seperti Me Gustas Tu, Only 1, L.U.V, Memoria, Fingertip, Navillera dan Rough, suasana stadium meriah apabila penonton turut menyanyi bersama.

Masuk ke jam kedua, imej persembahan GFriend berubah dan rutin tarian mereka juga semakin lincah sekaligus menunjukkan sisi matang kumpulan mereka.

Hari ini (1 Julai), GFriend telah melancarkan mini album ketujuh mereka dengan single bertajuk ‘Fever’.

Sebanyak 25 buah lagu dipersembahkan pada malam tersebut antaranya Glow, Truly Love, Love In The Air, Love Whisper, Windy Windy, You Are My Star, A Starry Sky, Shy Boy, Monday Blues, You Are Not Alone, Flower Garden, Sunrise, Time For The Moon Night, Crush, Hope, Love Bug dan Compas.

2019 Gfriend Asia Tour [Go Go Gfriend!] di Kuala Lumpur ini dibawakan oleh Macpiepro.

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!