85699

Goodbye Christopher Robin..Sedih Tapi Benar - Suria FM - Segalanya Hiburan

Siri animasi Winnie The Pooh barangkali merupakan antara keluaran paling popular syarikat terkenal Disney. Namun ramai yang mungkin tidak sedar bahawa kisah itu sebenarnya merupakan adaptasi daripada sebuah buku kanak-kanak nukilan A.A. Milne pada tahun 1926.

Malah dari Winnie The Pooh juga beberapa siri buku lain telah terhasil. Dan di dalam kisah Winnie The Pooh terdapat watak seorang budak lelaki yang bernama Christopher Robin. Nama watak tersebut sebenarnya diambil dari nama anak lelaki Milne sendiri.

Dan filem Goodbye Christopher Robin menyingkap kisah sebenar di sebalik kehidupan Milne, isterinya Daphne, anak mereka Christopher Robin dan juga pengasuh Christopher iaitu Olive.

Pasti ramai yang tidak tahu di zaman dunia belum ada teknologi internet ketika itu, Christopher Robin sebenarnya sudah berjaya menjadi sangat terkenal gara-gara penggunaan namanya di dalam cerita-cerita yang ditulis oleh ayahnya sendiri. Namun populariti tersebut tidak disenangi oleh dirinya dan sebahagian besar zaman kanak-kanaknya hilang gara-gara kisah Winnie The Pooh.

Selain itu ia juga mendedahkan hubungan rapat antara Christopher dan pengasuhnya Olive yang banyak mengambil tempat ibunya tika ibubapanya jarang ada.

Pasti ramai yang terkejut dan tidak menyangka bahawa kisah seceria Winnie The Pooh sebenarnya menyimpan cerita benar yang agak sedih di balik pembikinnya.

Jadi jika anda ingin tahu kisah di balik penulis dan watak Christopher Robin dalam siri Winnie The Pooh, pastikan anda menonton Goodbye Christopher Robin di beberapa pawagam GSC terpilih bermula 19 April ini.

 

 

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
Please wait...
Dengarkan Sekarang!