87847

Hantu Kak Limah Kembali! - Suria FM - Segalanya Hiburan

Bagi peminat filem tempatan dan hasil karya pengarah Mamat Khalid tentunya tidak asing dengan naskhah trilogi Kampung Pisang iaitu Zombi Kampung Pisang (2007), Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Husin Mon Jin Pakai Toncit (2013). Menariknya, filem Hantu Kak Limah Balik Rumah pernah mencatat kejayaan besar apabila meraih kutipan RM8juta.

Satu Majlis Perlancaran Promosi Filem Hantu Kak Limah (HKL) telah diadakan di Art Hall, Pusat Perlancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur pada 26 Jun 2018 yang turut dihadiri oleh pelakon, penerbit dan pengarah.

Uniknya sesi perasmian filem kali ini berkonsepkan majlis resepsi walimatul urus bagi meraikan perkahwinan Kak Limah dan Khuda. Sehari sebelum majlis perasmian, telah berlangsungnya sesi berinai buat pengantin Kak Limah. Selepas itu majlis diteruskan dengan majlis nikah.

Berbalik pada majlis resepsi bersanding, bagi melengkapkan majlis yang berkonsepkan perkahwinan tradisional negeri Perak, aturcara disempurnakan dengan adat merenjis tepung tawar. Seterusnya, dalam majlis tersebut juga diteruskan dengan sesi memotong kek sebagai simbolik pelancaran.

Meneruskan francais Kampung Pisang, tahun ini pengarah Mamat Khalid kembali dengan buah tangan terbaru menerusi filem HKL. Masih mengekalkan genre komedi seram ini, filem ini menampilkan tunggak utama yang masih mengekalkan pelakon Dato’ Awie sebagai Husin dan Delimawati sebagai Kak Limah.

Manakala, barisan pelakon lain yang sama-sama membintangi naskhah ini adalah Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Uqasha Senrose, Mus May, Allahyarham Rab Khalid, Pekin Ibrahim, Sharwani, TJ Isa, Jue Aziz, Sabri Yunus dan ramai lagi. Istimewanya, Kampung Pisang menampilkan cameo dari figura popular tanah air Erra Fazira dan Dato’ Seri Vida.

Filem ini bakal menemui penonton di layar perak bermula 9 Ogos 2018. HKL adalah kerjasama pertama Astro Shaw dan Infinitus Gold dan ini adalah filem kedua terbitan Infintus Gold.

Menurut Naib Presiden & Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Dato’ Khairul Anwar Salleh ini adalah satu penghargaan untuk kerjasama sulung antara Astro Shaw dan Infinitus Gold dalam menerbit serta mempromosikan filem. “Apa yang ditonjolkan dalam filem-filem trilogi Kampung Pisang sebelum ini termasuklah dialog yang dipersembahkan dilihat menjadi ikutan penonton.

Justeru, kami percaya penonton akan meletakkan harapan dan jangkaan lebih tinggi terhadap filem HKL yang akan menemui penonton pada bulan Ogos nanti. Menyedari hakikat itu, pihak kami dan pihak Infinitus Gold bergabung tenaga untuk mengukuhkan lagi keyakinan penonton terhadap industri perfileman tanah air.”

“Naskhah ini sudah ada kelompok peminatnya tersendiri. Namun, cabaran buat pihak kami adalah memastikan semua lapisan penonton teruja untuk pergi ke pawagam dan menyaksikan HKL. Jadi dengan aktiviti promosi secara turun padang oleh barisan artis serta liputan oleh media cetak dan media sosial diharap membantu promosi HKL sampai ke semua sasaran penonton di luar sana”, tambah Dato’ Khairul Anwar Salleh lagi.

Penerbit Eksekutif dari Infinitus Gold Gayatri Su-lin Pillai, menyifatkan filem HKL cukup dekat dengannya. “Sebelum ini saya pernah bersama dengan produksi Astro Shaw/Tayangan Unggul selama 18 tahun dan saya terlibat sebagai penerbit dalam semua francais Kampung Pisang. Kesemua naskhah itu menjadi nostalgia manis buat saya.

Saya yakin ramai penonton seronok dengan watak-watak menerusi francais Kampung Pisang yang masih melekat di hati.” Menurutnya lagi walaupun sudah melebihi satu dekad namun setiap watak yang ditampilkan menjadi malar segar sehingga kini dan dipertontonkan tanpa rasa jemu. Kemunculan watak-watak baharu juga turut menyerikan dan memberi nafas baru kepada Kampung Pisang. Kami memberi cadangan untuk kembalikan Hussin dan Kak Limah dalam sebuah filem baru yang lebih kelakar, mencuit hati dan dengan nilai produksi yang tinggi. Selepas berbincang dengan pihak Astro Shaw, kami bersetuju menjalinkan kerjasama bagi menjayakan projek ini. Kami jamin semua yang menonton HKL akan puas hati dengan komedi dan gelagat-gelagat watak lama dan yang baru Kampung.

Sementara itu, lagu bertajuk Srikandi Cinta Ku nyanyian asal penyanyi Datuk M. Nasir telah dinyanyikan
semula dalam versi baru oleh watak Husin (Dato’ Awie) dan watak Bapak Bunian (Mus May) sekaligus
menjadi lagu tema utama filem HKL. Selain menyaksikan babak nyanyian oleh dua watak ini di dalam filem,penonton juga boleh menikmati muzik video istimewa di laman web perkongsian video YouTube menerusi akaun Astro Shaw bermula 26 Jun 2018.

HKL mengisahkan tentang misteri kematian Kak Limah selepas berkahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda darinya. Kampung Pisang menjadi riuh gara-gara orang kampung diganggu oleh hantu Kak Limah. Sementara itu, Husin dan rakannya melihat Kak Limah ada di rumah. Siapakah yang mereka temui sebenarnya? Mereka meminta bantuan Encik Solihin yang merupakan guru silat untuk memburu Kak Limah. Pelbagai insiden lucu yang berlaku pada penduduk Kampung Pisang sepanjang berdepan dengan Hantu Kak Limah.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!