88831

Hantu Kak Limah Lebih Seram & Kelakar - Suria FM - Segalanya Hiburan

Filem yang paling dinanti-nantikan oleh peminat filem tanah air iaitu hantu kak Limah telah pun menjengah pawagam bermula 9 Ogos 2018.

Masih diterajui oleh Delimawati sebagai Hantu Kak Limah, dan Mamat Khalid sebagai pengarah, filem ini pasti akan membuatkan anda tidak kering gusi dan ketawa berdekah-dekah selama duduk di bangku pawagam.

Hantu Kak Limah mengisahkan tentang kak Limah yang berkahwin dengan seorang pemuda bernama Khuda (TJ Isa) di Kampung Pisang tetapi ditemui meninggal dunia oleh orang kampung sewaktu suaminya keluar memburu.

Biarpun ditemui meninggal dan mayatnya ditempatkan di klinik desa kampung itu, namun Hantu Kak Limah dikatakan mula menghantui Kampung Pisang.

Husin (Awie) dan dua orang lagi rakannya iaitu Wani (Sharwani) dan Yeh Sekupang (Rab Khalid) cuba untuk membuktikan bahawa Kak Limah yang berada di rumah Khuda adalah hantu.

 

Pelbagai perkara seram dan lucu yang berlaku sepanjang percubaan mereka untuk membuktikan bahawa Kak Limah sudah menjadi hantu.

Kehadiran seorang bomoh muda bernama Solihin (Zul Arifin) dilihat mampu menolong mereka bertiga menghalang hantu Kak Limah daripada mengganas.

Dalam pada masa yang sama, kehadiran seorang wanita jelita bernama Eton (Uqasha Senrose) di dalam hutan yang sering menemui Husin menimbulkan syakwasangka kepada teman-teman Husin.

Secara keseluruhan, filem ini sangat menghiburkan dan agak berbaloi untuk ditonton di pawagam.

Kredit harus diberikan kepada Ropie yang membawakan watak pegawai perubatan bernama Nayan yang banyak membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak dengan dialog selamba serta ekspresi beliau yang dramatik tetapi kelakar.

Pujian juga harus diberi kepada Zul Ariffin yang pertama kali membawa watak komedi dengan baik. Sering dilabel sebagai pelakon yang macho dan romantik, anda pasti ‘terkejut’ melihat sisi berbeza Zul sebagai bomoh di dalam filem ini.

Cameo dari Mus May, Erra Fazira, Dato Seri Vida dan juga Jue Aziz bukanlah sekadar cameo yang kosong dan penyeri, tetapi benar-benar membantu menambah perisa dalam filem Hantu Kak Limah.

Jangan lupa untuk menyaksikan apakah kesudahan kisah Husin dan rakan-rakannya dalam menghalang Hantu kak Limah dari terus mengganas di Kampung Pisang dan siapa pula sebenarnya Eton? Semuanya bakal terjawab di pawagam berdekatan anda.

Apakah perasaan anda tentang artikel ini?
    Please wait...
    Dengarkan Sekarang!
    Enable referrer and click cookie to search for pro webber